Oleh: Nur Fazrini Alia Binti Abd Majid
Suntingan: Ahmad Amirul Alias

Cyberjaya, 12 September – Pusat Perhubungan Alumni UPM (ARCUPM) telah menyertai Program Tracing Alumni for Collaboration and Engagement (TRACE)@Pendidikan 2025 Siri 1 yang berlangsung pada Jumaat, 12 September 2025, bertempat di Dewan Tun Canselor (DTC), Multimedia University Malaysia (MMU), Cyberjaya.
Penyertaan ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan ARCUPM untuk memperkukuh jaringan bersama alumni UPM, khususnya dalam bidang pendidikan. Program ini berfungsi sebagai wadah penting untuk merapatkan silaturahim, memperluas peluang kolaborasi, serta menyemarakkan sumbangan alumni terhadap universiti dan komuniti pendidikan negara.

Sepanjang program, ARCUPM telah membuka reruai khas bagi menjejaki alumni serta mengemas kini data melalui Sistem Maklumat Alumni (AIS). Usaha ini mendapat sambutan menggalakkan apabila seramai 54 alumni UPM berjaya dikesan, dengan sebahagiannya mendaftar semula serta mengemas kini maklumat mereka dalam sistem berkenaan.

Antara alumni yang menarik perhatian ialah Dr. Siti Fairuz Murshid, yang mempunyai ikatan istimewa dengan universiti kerana keseluruhan pengajian beliau ditempuh di Universiti Putra Malaysia. Perjalanan akademiknya bermula dari Matrikulasi pada tahun 1996, Ijazah Sarjana Muda pada tahun 1999, Ijazah Sarjana pada tahun 2014, dan seterusnya menamatkan pengajian Doktor Falsafah (PhD) pada tahun 2020 di UPM. Beliau turut berkongsi rasa bangga dengan menyatakan bahawa, “UPM sentiasa di hati”. Kehadiran beliau membuktikan eratnya hubungan alumni dengan universiti, di samping menjadi inspirasi kepada generasi baharu untuk terus menyumbang kepakaran masing-masing.

Secara keseluruhan, penyertaan ARCUPM dalam TRACE@Pendidikan 2025 Siri 1 diharap dapat memperkukuh jaringan alumni dalam bidang pendidikan dan menyokong komitmen universiti dalam membina legasi kecemerlangan bertaraf antarabangsa.
Tarikh Input: 21/10/2025 | Kemaskini: 28/10/2025 | ainnanabilah

Aras Bawah
Bangunan Pejabat Timbalan Naib Canselor
(Penyelidikan dan Inovasi)
Universiti Putra Malaysia
Off Lebuh Silikon
43400 UPM Serdang, Selangor