PROGRAM KOMPETENSI DAN PENGURUSAN STRATEGIK ALUMNI (KOMPAS) [BAHAGIAN 2] | Pusat Perhubungan Alumni alumni
» BERITA » PROGRAM KOMPETENSI DAN PENGURUSAN STRATEGIK ALUMNI (KOMPAS) [BAHAGIAN 2]

PROGRAM KOMPETENSI DAN PENGURUSAN STRATEGIK ALUMNI (KOMPAS) [BAHAGIAN 2]

BANDAR BARU ENSTEK, 15 Ogos 2026 – Bengkel Pembentangan Modul Kompetensi dan Pengurusan Strategik Alumni (KOMPAS) diteruskan dengan dua sesi perkongsian berimpak tinggi menerusi Slot 2: Forum Hard Talk – Isu, Cabaran dan Masa Depan Alumni Universiti Awam Malaysia dan Slot 3: Taklimat Capstone Project.

Slot 2 membuka ruang perbincangan secara terbuka dan mendalam mengenai realiti, cabaran semasa serta hala tuju pengurusan alumni di peringkat Universiti Awam (UA). Forum ini menghimpunkan barisan kepimpinan tertinggi UA bagi berkongsi pandangan, pengalaman serta perspektif dalam memperkukuh pengurusan dan jaringan alumni.

Forum tersebut menampilkan YBhg. Prof. Ts. Dr. Mohd Shafry Mohd Rahim, Naib Canselor, Universiti Teknologi Malaysia (UTM); YBhg. Datuk Prof. Madya Dr. Sabri Mohamad Sharif, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM); serta YBhg. Prof. Dr. Juliana Johari, Timbalan Naib Canselor (Industri, Komuniti & Alumni), Universiti Teknologi MARA (UiTM). Sesi forum dipandu oleh Ts. Dr. Mohd Khairil Anbia Chi Adam dari UTeM selaku moderator.

Perbincangan yang berlangsung turut mengetengahkan pelbagai isu dan cabaran dalam pengurusan alumni, di samping meneroka pendekatan serta strategi yang bersesuaian bagi memastikan jaringan alumni terus relevan dan mampu memberikan impak kepada universiti, alumni dan masyarakat.

Seterusnya, Slot 3: Taklimat Capstone Project memberikan pendedahan kepada peserta mengenai rangka pelaksanaan serta garis panduan penilaian bagi memastikan objektif program dapat diterjemahkan melalui projek yang bersifat praktikal dan berimpak.

Taklimat tersebut disampaikan oleh Dr. Omar Firdaus Mohd Said, Pengarah Pusat Alumni, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), yang turut berperanan sebagai Pakar Pembangun Rubrik.

Kedua-dua sesi ini memberikan ruang kepada para peserta untuk memperluas pengetahuan, berkongsi pengalaman serta membina perspektif yang lebih menyeluruh terhadap masa depan pengurusan alumni di institusi masing-masing.

Bengkel KOMPAS diharapkan dapat menjadi pemangkin kepada pengurusan alumni yang lebih proaktif, berdaya saing dan mampan, sekali gus memperkukuh peranan alumni UPM dan Universiti Awam dalam menyokong pembangunan institusi, pelajar dan masyarakat.

Tarikh Input: 17/08/2026 | Kemaskini: 17/08/2026 | ahmadamirul

PERKONGSIAN MEDIA

Pusat Perhubungan Alumni
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+6039769 1017
0386566933
W, (07:08:24pm-07:13:24pm, 18 Aug 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]