TEMU MESRA ALUMNI: AKE BENEFIGS, SHAH ALAM | Pusat Perhubungan Alumni
» BERITA » TEMU MESRA ALUMNI: AKE BENEFIGS, SHAH ALAM

TEMU MESRA ALUMNI: AKE BENEFIGS, SHAH ALAM

 

Oleh:  Nur Fazrini Alia Abd Majid 

Disunting Oleh:  Suziana Che Wil 

Shah Alam, 8 Januari 2026 – Pusat Perhubungan Alumni Universiti Putra Malaysia telah mengadakan satu sesi temu mesra alumni bersama Encik Hafidz Arifin, Alumni Universiti Putra Malaysia Kelas 2009, di AKE Benefigs, Shah Alam. Sesi ini diketuai oleh Dr. Muhammad Mu'az Mahmud, Timbalan Pengarah Pusat Perhubungan Alumni Universiti Putra Malaysia.

Sesi temu mesra ini bertujuan memperkukuh hubungan strategik antara universiti, alumni dan industri, di samping meneroka potensi kolaborasi jangka panjang yang mampu memberi manfaat bersama. Pertemuan ini bukan sekadar kunjungan hormat, sebaliknya menjadi platform perbincangan bermakna berkaitan pembangunan jaringan, kerjasama strategik dan penggerak ekosistem ekonomi alumni.

Dalam pertemuan tersebut, kedua-dua pihak membincangkan potensi kolaborasi antara universiti awam dan syarikat swasta melalui penglibatan alumni sebagai penghubung strategik. Perbincangan turut menekankan kepentingan membina sinergi antara alumni dan industri, khususnya dalam sektor bernilai tinggi seperti industri buah tin yang sedang berkembang pesat.

Selain itu, pertemuan ini turut meneroka peluang kerjasama dalam bidang penyelidikan dan pembangunan buah tin yang merangkumi teknologi pertanian, aplikasi perubatan dan nutraseutikal, serta pembangunan model agribisnes dan keusahawanan. Potensi penempatan pelajar praktikal peringkat Ijazah Universiti Putra Malaysia bersama Benefigs juga dibincangkan sebagai usaha menyediakan pendedahan industri sebenar kepada pelajar.

Sebagai sebahagian daripada program, delegasi turut mengadakan lawatan ke ladang buah tin baharu milik Benefigs Arus Sdn. Bhd. Dengan enam cawangan ladang di seluruh negara, Benefigs dilihat sebagai platform pembelajaran industri yang berupaya menghubungkan teori akademik dengan realiti industri, seterusnya menterjemahkan ilmu kepada nilai ekonomi sebenar.

Pusat Perhubungan Alumni Universiti Putra Malaysia melihat sesi temu mesra ini sebagai langkah strategik dalam menggerakkan potensi lebih 180,000 alumni Universiti Putra Malaysia sebagai satu ekosistem ekonomi yang mampan, berimpak tinggi dan berdaya saing, selaras dengan aspirasi universiti untuk memperkukuh jaringan alumni dan industri pada masa hadapan.

Tarikh Input: 09/01/2026 | Kemaskini: 12/01/2026 | suziana.wil

PERKONGSIAN MEDIA

Pusat Perhubungan Alumni
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+6039769 1017
0386566933
F, (01:59:05am-02:04:05am, 12 Apr 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]