SESI TEMUDUGA BIASISWA PEWARIS GEMILANG | Pusat Perhubungan Alumni
» BERITA » SESI TEMUDUGA BIASISWA PEWARIS GEMILANG

SESI TEMUDUGA BIASISWA PEWARIS GEMILANG

Oleh: Nur Fazrini Alia Abd Majid 

Disunting oleh: Suziana Che Wil 

Serdang, 9 Februari 2026 – Sesi Temuduga Biasiswa Pewaris Gemilang telah berjaya dilaksanakan di Pusat Perhubungan Alumni Universiti Putra Malaysia (ARCUPM) sebagai sebahagian daripada proses pemilihan penerima biasiswa bagi menyokong kelangsungan dan kecemerlangan pendidikan pelajar.

Sesi temuduga ini merupakan satu peringkat penting dalam menilai potensi akademik, kepimpinan serta aspirasi calon-calon terpilih agar selari dengan objektif penajaan Biasiswa Pewaris Gemilang, yang memberi penekanan kepada pembangunan generasi pewaris berilmu dan berwawasan.

Pelaksanaan sesi temuduga ini melibatkan kerjasama pelbagai pihak berkepentingan. Kehadiran Encik Zainol Abidin Ahmad, Ketua Pegawai Eksekutif Pewaris Gemilang Sdn. Bhd, merangkap Penaja Biasiswa Alumni, memainkan peranan utama dalam menyokong inisiatif kebajikan dan pembangunan pelajar melalui platform penajaan pendidikan.


Sesi temuduga diketuai oleh Encik Fahmi Azar Mistar, Pengarah Pusat Perhubungan Alumni UPM, selaku Ketua Panel Temuduga. Turut terlibat sebagai panel ialah Puan Wan Suzaimas binti Wan Sulaiman, Ketua Seksyen Kewangan Pelajar, Pejabat Bursar UPM,  Encik Mohd Nazri Md Yasin, Ketua Pentadbiran, Bahagian Kemasukan dan Urus Tadbir Akademik UPM, serta Cik Ummi Husna Abdullah, Ketua Seksyen Kesejahteraan Mahasiswa, Hal Ehwal Pelajar UPM. Penglibatan panel pelbagai disiplin ini memastikan penilaian dilaksanakan secara menyeluruh merangkumi aspek akademik, kebajikan dan tadbir urus pelajar.

Seramai tujuh orang calon telah menghadiri sesi temuduga dengan persediaan yang rapi dan tahap komitmen yang tinggi, sekali gus mencerminkan kesungguhan mereka untuk merebut peluang penajaan pendidikan yang ditawarkan.

Secara keseluruhannya, penganjuran Temuduga Biasiswa Pewaris Gemilang ini mencerminkan komitmen berterusan pihak penaja dan Universiti Putra Malaysia dalam memperluas akses pendidikan, memupuk bakat muda serta melahirkan graduan yang bukan sahaja cemerlang dari segi akademik, malah berupaya menyumbang secara signifikan kepada masyarakat dan negara.


Tarikh Input: 13/02/2026 | Kemaskini: 13/02/2026 | ahmadamirul

PERKONGSIAN MEDIA

Pusat Perhubungan Alumni
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+6039769 1017
0386566933
F, (08:29:40pm-08:34:40pm, 10 Apr 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]