Oleh: Nur Syamimi Mohd Nor
Disunting: Ahmad Amirul Alias

24 September 2025 - Pusat Perhubungan Alumni Universiti Putra Malaysia (ARCUPM) meneruskan usaha pengumpulan data bagi penerbitan Sejarah Lisan Pak Rashid melalui sesi temu bual bersama seorang lagi responden, Encik Md. Husain Menggong, alumni Universiti Putra Malaysia dari Kelas 1970 yang pernah dididik oleh Allahyarham Pak Rashid.
Sesi temu bual yang berlangsung pada 24 September 2025 ini berjaya merakam pelbagai kisah dan kenangan manis sepanjang tempoh beliau menuntut di bawah bimbingan Pak Rashid. Antara kenangan yang dikongsikan ialah suasana ketika para pelajar melihat ‘mini moke’, yang menjadi isyarat kepada mereka untuk segera menumpukan perhatian dan melaksanakan tugasan masing-masing dengan penuh disiplin. Kisah-kisah seperti ini bukan sahaja menggambarkan keperibadian Pak Rashid sebagai pendidik yang tegas tetapi juga mencerminkan pendekatan beliau dalam membentuk pelajar yang berdedikasi dan berdaya saing.

Pak Rashid merupakan tokoh penting yang memainkan peranan besar dalam perkembangan institusi ini sejak era Sekolah Pertanian, Kolej Pertanian Malaya, Universiti Pertanian Malaysia sehinggalah Universiti Putra Malaysia pada masa kini. Sumbangan beliau dalam bidang pendidikan dan pembangunan pelajar kekal relevan serta menjadi contoh teladan kepada generasi baharu.

Legasi beliau terus hidup dalam ingatan warga kampus dan para alumni, menjadi sumber inspirasi yang merentas generasi. ARCUPM komited untuk memastikan jasa dan perjuangan beliau terus didokumentasikan agar tidak luput daripada lipatan sejarah universiti tercinta ini.
Tarikh Input: 23/10/2025 | Kemaskini: 08/12/2025 | ainnanabilah

Aras Bawah
Bangunan Pejabat Timbalan Naib Canselor
(Penyelidikan dan Inovasi)
Universiti Putra Malaysia
Off Lebuh Silikon
43400 UPM Serdang, Selangor