Oleh: Nur Fazrini Alia Binti Abd Majid
Disunting oleh: Suziana Che Wil
Serdang, 2 Oktober 2025 – Sesi Temu Bual Sejarah Lisan Pak Rashid telah diadakan bagi mendokumentasikan perjalanan hidup dan jasa besar tokoh pendidikan terkenal, Allahyarham Pak Rashid. Temu bual ini dijalankan dengan kerjasama pasukan Arkib dan Media, Perpustakaan Sultan Abdul Samad (PSAS), Universiti Putra Malaysia (UPM) sebagai sebahagian daripada usaha untuk memelihara warisan tokoh penting dalam sejarah pendidikan negara.

Sesi temu bual tersebut melibatkan anak kandung Allahyarham, Tuan Haji Hassan bin Mohd Rashid serta isteri beliau, Hajah Jamilah binti Muhammad Saleh, yang berkongsi pelbagai kisah menarik tentang keperibadian dan perjuangan ayahanda mereka dalam dunia pendidikan.

Menurut Tuan Haji Hassan, ayahandanya merupakan seorang pendidik yang sangat menitikberatkan kemajuan orang Melayu melalui pendidikan. Beliau sentiasa memastikan anak didiknya berjaya, malah sering menziarahi negeri asal pelajar-pelajarnya untuk memberi galakan agar mereka terus menuntut ilmu ke peringkat lebih tinggi.
Tambah beliau, keistimewaan Pak Rashid bukan hanya pada keilmuannya, tetapi juga pada sifat rendah diri dan budi pekerti mulia yang menjadikan beliau disegani ramai. Walaupun sering bergaul dengan tokoh-tokoh ternama, beliau tidak pernah membezakan taraf atau darjat seseorang.
Tuan Haji Hassan turut menyatakan harapan agar usaha dokumentasi ini dapat menjadi sumber inspirasi kepada warga UPM dan generasi muda, sekali gus memastikan jasa besar ayahandanya terus dikenang. Menurut beliau, kejayaan dan kemegahan UPM hari ini tidak dapat dipisahkan daripada sumbangan awal Pak Rashid, yang telah menjadi antara pelopor penting dalam pembangunan institusi tersebut.

Kesimpulannya, inisiatif sejarah lisan ini bukan sekadar usaha mendokumentasikan kisah seorang tokoh, tetapi juga satu bentuk penghargaan terhadap perjuangan dan dedikasi beliau dalam memartabatkan dunia pendidikan negara.
Tarikh Input: 24/10/2025 | Kemaskini: 27/10/2025 | ainnanabilah

Aras Bawah
Bangunan Pejabat Timbalan Naib Canselor
(Penyelidikan dan Inovasi)
Universiti Putra Malaysia
Off Lebuh Silikon
43400 UPM Serdang, Selangor