Oleh: Nur Fazrini Alia Abd Majid
Disunting oleh: Suziana Che Wil
Serdang, 30 Januari 2026 – Majlis Perutusan dan Amanat Naib Canselor 2026 telah berlangsung dengan jayanya, menghimpunkan seluruh warga Universiti Putra Malaysia (UPM) dalam satu kesatuan tekad bagi melangkah ke hadapan dengan hala tuju yang jelas, tersusun dan berpaksikan nilai teras universiti.
Berteraskan kerangka strategik True North UPM, perutusan ini menegaskan kepentingan menterjemahkan perancangan strategik kepada tindakan berasaskan hasil, agar setiap inisiatif yang digerakkan mampu memberikan impak nyata kepada universiti, masyarakat dan negara. Pendekatan ini dilihat sebagai asas kepada usaha memperkukuh kelestarian dan daya saing UPM dalam landskap pendidikan tinggi yang semakin mencabar.
Naib Canselor UPM, Yang Berbahagia Dato’ Profesor Ir. Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah, dalam amanatnya menekankan bahawa True North bukan sekadar slogan, sebaliknya merupakan kerangka hala tuju bersama yang memerlukan kefahaman mendalam serta komitmen menyeluruh seluruh warga universiti. Menurut beliau, hanya dengan kesepakatan ini UPM dapat bergerak ke destinasi yang sama secara terancang dan berperingkat.



Beliau turut menegaskan bahawa pengalaman dan cabaran yang dilalui sepanjang tahun 2025 wajar dijadikan pengajaran dalam membentuk tindak balas yang lebih tangkas, berkesan dan berintegriti. Setiap warga universiti diseru agar mengurus isu secara berhemah demi memelihara reputasi dan kredibiliti institusi.
Dalam perutusannya, beliau menekankan bahawa pencapaian agenda universiti tidak dapat direalisasikan secara individu, sebaliknya memerlukan komitmen kolektif seluruh ekosistem UPM merangkumi staf, pelajar, alumni, pesara serta rakan industri dan komuniti sebagai pemegang taruh strategik. Pelajar turut diangkat sebagai duta universiti yang mencerminkan nilai teras “Berilmu Berbakti”.
Seiring dengan itu, UPM terus memposisikan diri sebagai rakan strategik negara dengan memberi tumpuan kepada tadbir urus berakauntabiliti, penerapan kecerdasan buatan dan pendigitalan, kelestarian kewangan, serta lima fokus utama hala tuju strategik universiti. Pendekatan ini bertujuan memastikan UPM kekal relevan, berdaya saing dan berimpak tinggi menjelang tahun 2050.


Majlis perutusan ini turut membawa makna tersendiri kepada Pusat Perhubungan Alumni UPM apabila berpeluang menyumbang kepada visi dan misi universiti melalui pelancaran penerbitan coffee table book bertajuk “Insan Bernama Cikgu Rashid”. Kejayaan penerbitan ini mencerminkan hasil kebersamaan dan kerjasama erat antara pengurusan tertinggi dan seluruh warga universiti.
Secara keseluruhannya, Majlis Perutusan dan Amanat Naib Canselor 2026 memperkukuh komitmen Universiti Putra Malaysia dalam menjadikan integriti sebagai teras utama hala tuju strategik universiti, selari dengan agenda True North UPM, bagi menghadapi cabaran tahun 2026 dan seterusnya.
Tarikh Input: 31/01/2026 | Kemaskini: 31/01/2026 | suziana.wil

Aras Bawah
Bangunan Pejabat Timbalan Naib Canselor
(Penyelidikan dan Inovasi)
Universiti Putra Malaysia
Off Lebuh Silikon
43400 UPM Serdang, Selangor