Oleh: Suziana Che Wil
Serdang, 13 Julai - Telah berlangsung bicara alumni yang cukup meresap ke dalam jiwa para alumni yang telah disampaikan oleh Ahli Lembaga Pengarah Universiti (LPU) Encik Mohamad Sabrie Mohamad Salleh (Alumni kelas 2009).
Bicara Alumni yang mengupas topik “Alumni Generasi Muda: Adakah Kita Kehilangan Mereka?” ini diadakan pada 13 Julai 2024 sempena Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Alumni UPM tahun 2024 bertempat di Auditorium Rashdan Baba, Bangunan TNCPI UPM.
Dalam usaha membawa alumni kembali ke alma mater, banyak situasi dan perkara yang perlu dititikberatkan. Antaranya mengambil kira keberadaan dan kesediaan alumni muda untuk bersama-sama memperkasakan agenda universiti.
Dalam bicara itu juga, Encik Sabrie Salleh turut menekankan perlu ada usaha yang lebih jelas dan pendekatan yang lebih menjurus kepada kecenderungan alumni muda untuk merasai mereka juga diperlukan dalam pembangunan universiti.
Entiti yang bertanggungjawab khususnya Persatuan Alumni UPM (PAUPM) dengan dibantu oleh Pusat Perhubungan Alumni UPM, perlu terus menjadi pemangkin kepada keterlibatan alumni muda. Perlu mengubah struktur gerakan kepada lebih sinonim dengan pergerakan semasa. Agenda pendigitalan dan AI perlu dititikberatkan agar alumni muda berasakan ‘jiwa’ mereka juga diperlukan dalam pembangunan sejagat universiti ini.
Jalinan kerjasama (engagement) antara bakal alumni (pelajar) dan alumni juga perlu diperkasakan lagi agar bakal alumni ini merasakan mereka mempunyai idola dan contoh terbaik dalam mengejar kejayaan dan sebagainya. Begitu juga sebaliknya. Para alumni perlu didedahkan dengan bakal alumni menerusi pelbagai aktiviti dan program untuk mewujudkan hubungan dua hala yang pastinya akan memberikan manfaat bukan sahaja kepada bakal alumni tetapu juga kepada alumni.
Penjiwaan yang mendalam terhadap keperluan pembangunan alumni itu perlu. Perlu wujudkan rasa ‘belonging’ dalam diri alumni dan bakal alumni yang akan membina satu rasa dan jiwa yang cukup utih kepada universiti tercinta.
Pusat Perhubungan Alumni UPM yang kini diterajui oleh YBrs. Prof. Madya Dr Aqlima Ahmad dan juga YBrs. Dr. Mokrish Md. Ajat sentiasa mengalu-alukan kehadiran alumni untuk bersama-sama memperkasakan agenda kecemerlangan UPM.
Tarikh Input: 19/07/2024 | Kemaskini: 09/10/2024 | shahirahalia
Aras Bawah
Bangunan Pejabat Timbalan Naib Canselor
(Penyelidikan dan Inovasi)
Universiti Putra Malaysia
Off Lebuh Silikon
43400 UPM Serdang, Selangor