Bahasa Bukan Sekadar Bahasa Tetapi Ia Adalah Tanggungjawab | Pusat Perhubungan Alumni
» BERITA » Bahasa Bukan Sekadar Bahasa Tetapi ia Adalah Tanggungjawab

Bahasa Bukan Sekadar Bahasa Tetapi ia Adalah Tanggungjawab

Oleh : Suziana Che Wil 

Suntingan : Nik Hafzaini Nik Hassan 

 

29 Oktober 2021, Bersempena Bulan Bahasa Kebangsaan, Pengarah Pusat Perhubungan Alumni UPM (ARCUPM) telah dijemput sebagai panel Sayang Bahasa: Citra Keluarga Malaysia oleh Radio Televisyen Malaysia (RTM) untuk membicarakan soal kepentingan sayangi Bahasa kebangsaan iaitu Bahasa Malaysia. 

Pada Slot Bual Bicara itu, Prof. Madya Dr. Arba’ie Sujud menerangkan bahawa bahasa ini sebagai satu anugerah yang perlu diisyukuri dan ia adalah sebagai satu amanah untuk kita menguruskan bahasa itu sendiri. 

Menurutnya lagi, pengguna bahasa iaitu kita sendiri perlu tahu apakah kita menggunakan bahasa tepat ataupun tidak. Selaku pengguna bahasa juga perlu faham kesan daripada bahasa yang kita gunakan ke atas orang lain. Ini kerana bahasa adalah satu alat komunikasi yang paling berkesan dan akan meninggalkan impak andai salah menggunakan bahasa dan kata pada tempatnya.

“Bulan Oktober pada setiap tahun telah diwartakan sebagai Bulan Bahasa Kebangsaan. Itu tidaklah membawa makna, pada bulan itu sahaja kita perlu cakna pada penggunaan bahasa dan kata yang betul. Bulan Oktober itu adalah sebagai satu bulan untuk apresiasi sahaja. Lebih penting ialah bagaimana kita sepanjang tahun itu menguruskan penggunaan bahasa itu sendiri. Oktober hanyalah sebagai satu tarikh untuk meraikan tetapi yang lebih penting adalah bagaimana kita membawa jiwa dan semangat berbahasa dan kita sebagai rakyat Malaysia sebenarnya perlu bertanggaungjawab terhadap bahasa kita sendiri. Jika kita membincangkan mengenai pencemaran bahasa, kini media massa sebagai medium yang paling berautoriti. Kini media massa tidak tertakluk kepada media cetak dan media penyiaran sahaja, kini media sosial juga medium yang jelas digunakan. Ada kajian menunjukkan hanya 27 peratus sahaja pengguna ‘khidmat pesanan ringkas’ yang membaca semula apa yang ditulis sebelum dihantar. Situasi ini membawa kepada kesilapan dalam penulisan yang boleh membawa kesilapan kepada makna dan juga kesan kepada bahasa itu sendiri. Dengan slogan Bahasa Jiwa Bangsa itu perlu dititikberatkan dan dizahirkan kepada bentuk tindakan. Perlu tersemat kukuh dalam sanubari untuk kita meletakkan di mana tanggungjawab kita dalam menikmati anugerah bahasa ini.” Ujar beliau

Tambahnya lagi, di peringkat UPM sendiri ada mengadakan Pertandingan Bahasa sempena Bulan Bahasa Kebangsaan yang telah dirasmikan oleh Naib Canselor UPM, Prof. Dr. Roslan Sulaiman. Pertandingan ini adalah satu cabang dalam membawa belia dan pelajar untuk menghargai dan seterusnya menghayati dan menilai sendiri betapa pentingnya membudayakan bahasa kebangsaan.

Tarikh Input: 28/12/2021 | Kemaskini: 04/01/2022 | suziana.wil

PERKONGSIAN MEDIA

Pusat Perhubungan Alumni
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+6039769 1017
0386566933
BXEZJA0~