Oleh: Nur Fazrini Alia Binti Abd Majid
Disunting oleh: Suziana Che Wil

Serdang, 6 Oktober – Sesi Amanat Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), YBhg. Prof. Dr. Arifin Abdu, telah berlangsung dengan jayanya di Dewan Besar Universiti Putra Malaysia (UPM) sempena Minggu Perkasa Putra (MPP) Sesi 2025/2026. Program berkenaan menghimpunkan seramai 3,600 pelajar baharu yang memulakan perjalanan akademik mereka di UPM.

Dalam ucapannya, Prof. Dr. Arifin mengalu-alukan kehadiran semua pelajar baharu ke kampus hijau UPM serta menyampaikan ucapan tahniah kepada mereka yang telah berjaya menempatkan diri di universiti penyelidikan terkemuka negara itu. Beliau turut mengucapkan selamat datang kepada pelajar-pelajar di UPM Kampus Bintulu, Sarawak, yang turut mengikuti sesi amanat secara serentak.Beliau menyeru agar pelajar baharu memanfaatkan sepenuhnya peluang menimba ilmu di UPM dengan semangat dan komitmen tinggi. “Semoga perjalanan menimba ilmu di kampus ini menjadi titik tolak kepada perubahan besar dalam kehidupan anda pada masa akan datang,” katanya.

Dalam amanat tersebut, beliau turut menegaskan agar pelajar tidak teragak-agak untuk melaporkan sebarang masalah termasuk isu kewangan, tekanan emosi atau kes buli kepada Bahagian Hal Ehwal Pelajar (HEP). Tegasnya, pihak universiti sentiasa bersedia membantu dan mendengar setiap masalah yang dihadapi oleh pelajar.
Sesi berkenaan turut memperkenalkan barisan Ketua Pusat Tanggungjawab (PTJ) di bawah entiti Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) yang berperanan penting dalam memastikan kebajikan dan kesejahteraan mahasiswa sentiasa terpelihara.

Beliau berharap segala amanat yang disampaikan dapat dijadikan panduan dan pedoman sepanjang tempoh pengajian, seterusnya melahirkan graduan UPM yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik tetapi juga berdaya saing serta berakhlak tinggi.
Kesimpulannya, Sesi Amanat Timbalan Naib Canselor HEPA ini bukan sahaja menjadi wadah penyampaian maklumat penting, malah mencetus inspirasi kepada pelajar baharu untuk terus berusaha mencapai kecemerlangan. Sesi ini turut mencerminkan komitmen universiti dalam memastikan kebajikan, kesejahteraan dan pembangunan sahsiah mahasiswa terus diberi keutamaan.
Tarikh Input: 27/10/2025 | Kemaskini: 13/01/2026 | ainnanabilah

Aras Bawah
Bangunan Pejabat Timbalan Naib Canselor
(Penyelidikan dan Inovasi)
Universiti Putra Malaysia
Off Lebuh Silikon
43400 UPM Serdang, Selangor