MISI UPM DI PUNCAK DUNIA@EVEREST DARI IMPIAN JADI KENYATAAN | Alumni Relations Centre
» ARTICLE » MISI UPM DI PUNCAK DUNIA@EVEREST DARI IMPIAN JADI KENYATAAN

MISI UPM DI PUNCAK DUNIA@EVEREST DARI IMPIAN JADI KENYATAAN

Oleh  : Suziana Che Wil

Suntingan : Nik Hafzaini Nik Hassan

 

Jika sebelum ini T. Ravichandran telah berjaya menakluk puncak Everest secara solo sebanyak dua kali iaitu pada tahun 2006 dan 2007, misi kali ketiga ini membawa cabaran yang jauh berbeza.

Kali ini, beliau bukan sahaja membawa impian pendaki yang berusia 40 dan 64 tahun ke puncak tertinggi dunia itu, tetapi juga membawa misi dan harapan seluruh warga dan alumni Universiti Putra Malaysia untuk melihat bendera keramat ini berkibar megah di puncak tertinggi dunia.

Ekspedisi yang bermula pada 25 Mac 2022 yang lalu dan kepulangannya ke Malaysia pada 22 Mei 2022 telah berjaya merealisasikan impian mengibarkan bendera UPM di puncak Everest dan sekaligus berjaya menjadi  impian pendaki berusia 64 tahun untuk jejak di puncak Everest menjadi satu realiti.   

Ravichandran yang merupakan alumni UPM kelas 1990 tiba di Kuala Lumpur International Airport (KLIA) setelah selesai misi dia Everest telah disambut oleh Timbalan Naib Canselor UPM (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dr. Arifin Abdu, Pengarah Pusat Perhubungan Alumni, Prof. Madya Dr. Arba’ie Sujud, penaja, keluarga, alumni UPM dan juga pelajar UPM.

Misi UPM di Puncak Dunia@Everest ini membuktikan semangat juang yang tinggi para alumni kepada alma mater. Bagi dirinya sendiri ini adalah sumbangan peribadinya kepada alma mater yang selama ini telah banyak memberi bakti kepada dirinya.

Alumni dan alma mater perlu sentiasa seiring dalam visi dan misi Universiti. Apa yang di lakukannya pada hari ini adalah sumbangan nya selaku alumni terhadap alma mater. Beliau mengharapkan semangat juang yang ditunjukkannya itu mampu menjadi pembakar semangat untuk para pelajar mengejar impian dan cita-cita sehingga berjaya.

Bagi, Timbalan Naib Canselor UPM (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Prof. Dr. Arifin Abdu, usaha yang ditunjukkan oleh Ravichandran membuktikan semangat juang yang tinggi mampu meletakkan nama UPM di persada dunia.

Ini bukan satu kerja yang mudah, perjalanan untuk sampai ke puncak memerlukan daya saing yang tinggi. Semangat juang ini pasti akan menyuntik rasa ingin kembali berbakti kepada semua alumni yang lain dalam sama-sama membawa nama UPM di puncak dunia. Dan misi UPM di Puncak Dunia@Everest telah berjaya direalisasikan oleh alumni UPM sendiri.

Setiap alumni dialu-alukan kembali berbakti kepada alma mater mengikut kepakaran masing-masing. Menerusi aspirasi Naib Canselor UPM YH. Dato’ Prof. Dr. Roslan Sulaiman, aspirasi ke 2, ‘Melahirkan Pelajar Sebagai Sosok Warganegara Yang Baik’, ‘kepulangan’ alumni bersama kepakaran mereka ke alma mater amat dialu-alukan untuk bersama-sama menjayakan visi dan misi Universiti.

Menurut Pengarah Pusat Perhubungan Alumni UPM, Prof. Madya Dr. Arba’ie Sujud, apa yang dilakukan oleh Ravichandran ini dapat membangkitkan semangat juang yang tinggi ke atas pelajar UPM dalam mencapai kejayaan.

Sumbangan boleh hadir dalam pelbagai cara dan bentuk. Hari ini Ravichandran selaku alumni UPM telah menyuntik jiwa yang kental kepada para pelajar UPM serta menunjukkan satu modal insan yang tinggi ke atas para pelajar. Beliau juga mempamerkan rasa kebersamaan bersama Universiti dalam meletakkan nama UPM di puncak dunia itu bukan perkara yang mustahil jika disertakan dengan semangat dan kemahuan yang tinggi. Menerusi semangat yang tidak pernah luntur untuk kembali menyumbang kepada Universiti, dengan berada pada paras ketinggian lebih 7800 kaki, beliau berjaya kibarkan bendera UPM menerusi Misi UPM di Puncak Dunia@Everest.

Lebih manis lagi kejayaan beliau ini dilakar pada bulan UPM sedang meraikan Hari Alumni UPM bermula 21 Mei 2022. Apa yang dizahirkan oleh beliau ini akan menjadi penanda aras buat alumni untuk menyumbang dan berbakti semula kepada universiti melalui kepakaran bidang yang tersendiri. Alumni dan alma mater pastinya berpisah tiada dan bersamalah kita menyemarakkan rasa kebersamaan dengan alma mater menerusi slogan #daripadaalumnikepadaUPM.

Dalam pada itu, kejayaan menawan puncak Everest untuk kali ini bukanlah terakhir untuk Ravichandran, kerana misi menawan Gunung Everest buat kali keempat pada tahun hadapan akan diteruskan. Kali ini misi pendakian akan dilakukan tanpa menggunakan tong oksigen dan persiapan rapi bagi menjayakan misi akan teruskan dilakukan.

Date of Input: 28/06/2022 | Updated: 10/02/2026 | suziana.wil

MEDIA SHARING

Alumni Relations Centre
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+6039769 1017
0386566933
W, (05:03:01am-05:08:01am, 17 May 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]