Oleh: Nur Fazrini Alia Binti Abd Majid
Disunting oleh: Ahmad Amirul Alias
Serdang, 16 Oktober – Program YOSH Bonding Day anjuran Chapter Alumni YOSH Universiti Putra Malaysia (UPM) telah berlangsung dengan meriah di Dewan Kenyalang, Kolej Sultan Alaeddin Suleiman Shah (KOSASS), UPM. Program yang diadakan pada jam 8.00 hingga 10.30 malam ini menghimpunkan seramai 40 pelajar tahun satu yang juga merupakan ahli baharu YOSH UPM, termasuk beberapa pelajar antarabangsa dari China.

Majlis dimulakan dengan ucapan daripada Prof. Madya Dr. Mursyid, selaku penasihat utama Chapter Alumni YOSH UPM, yang menyampaikan kata-kata aluan serta pesanan inspirasi kepada para peserta mengenai semangat kesukarelawanan dan peranan pelajar dalam membina jaringan komuniti yang berdaya saing.

Sesi diteruskan dengan perbentangan pengenalan dan pembentangan aktiviti yang bakal dijalankan sepanjang semester ini oleh Presiden Chapter Alumni YOSH UPM, Cik Asyiqin Ramli. Antara program yang dirancang termasuk aktiviti berbentuk pembangunan sahsiah, kesukarelawanan serta penglibatan komuniti yang melibatkan pelajar dan alumni.
Turut menyerikan majlis ialah slot perkongsian pengalaman daripada alumni YOSH UPM, yang menceritakan pengalaman mereka terlibat secara aktif dalam program sukarelawan di peringkat antarabangsa. Perkongsian ini memberi inspirasi kepada ahli baharu untuk terus aktif menyumbang melalui aktiviti berimpak sosial tinggi.

Program ini bukan sahaja menjadi platform untuk mempererat hubungan antara pelajar baharu dan alumni, tetapi turut memupuk nilai kepimpinan, keprihatinan sosial serta semangat “Berilmu Berbakti” dalam kalangan warga YOSH UPM.
Tarikh Input: 27/10/2025 | Kemaskini: 27/10/2025 | ainnanabilah

Aras Bawah
Bangunan Pejabat Timbalan Naib Canselor
(Penyelidikan dan Inovasi)
Universiti Putra Malaysia
Off Lebuh Silikon
43400 UPM Serdang, Selangor