Oleh: Husna Shafiyah binti Hishamuddin
Disunting oleh: Suziana binti Che Wil
KOTA SAMARAHAN, 25 Julai – Bahagian Alumni, Pejabat Pengurusan Pelajar Universiti Putra Malaysia Sarawak (UPMS) telah menganjurkan Program Chit Chat Alumni yang berlangsung di Dewan Sri Kenyalang, Universiti Putra Malaysia Sarawak (UPMS) baru-baru ini.
Program yang julung kali diadakan itu menjadi platform perkongsian santai yang menghimpunkan alumni UPM bersama para pelajar baharu bagi berkongsi pengalaman, inspirasi serta pandangan mengenai peranan alumni dalam menyokong pembangunan mahasiswa dan universiti.
Majlis turut dihadiri oleh barisan pengurusan universiti, pensyarah, pegawai kanan dan pelajar UPMS. Antara yang hadir memberikan sokongan ialah Prof. Madya Dr. Norasmah Saupi, Dekan Fakulti Sains dan Perhutanan UPMS; Encik Mohamad Syukri Mohamad Adnan, Ketua Pentadbir Pejabat Pengurusan Pelajar UPMS; Prof. Madya Dr. Geoffery Anak James Gerusu, Pengerusi Felo Alumni UPMS; Encik Muhamad Abdul Rahim Habib, Ketua Bahagian Kaunseling dan Pemerkasaan Mahasiswa; serta Saudari Nurul Atiqah MS Ismail, Naib Presiden Majlis Perwakilan Kolej.
Sesi Chit Chat Alumni telah dikendalikan oleh Dr. Alvin Lim Teik Zheng, Pensyarah Kanan dan alumni UPM, selaku moderator. Forum tersebut menampilkan tiga panel berpengalaman iaitu Encik Fahmi Azar Mistar, Pengarah Pusat Perhubungan Alumni Universiti Putra Malaysia (UPM) Serdang; Tuan Haji Mat Amin Jaafar, Pengarah Urusan AMCO Niaga Sdn. Bhd. merangkap Setiausaha Agung Persatuan Alumni UPM; serta Dr. Ahmad Mustapha Mohamad Pazi, Pensyarah Jabatan Sains Perhutanan UPMS.
Sepanjang sesi berlangsung, para panel berkongsi pengalaman profesional, perjalanan kerjaya serta pandangan mengenai kepentingan membina jaringan alumni yang kukuh sebagai platform pembangunan diri, kerjaya dan kepimpinan. Perkongsian tersebut turut memberi pendedahan kepada para pelajar mengenai pelbagai peluang yang boleh dimanfaatkan melalui komuniti alumni UPM.

Penganjuran Program Chit Chat Alumni ini diharapkan dapat meningkatkan kesedaran dalam kalangan pelajar baharu tentang peranan dan fungsi alumni UPM, di samping mengukuhkan hubungan antara mahasiswa, alumni dan universiti. Program seumpama ini juga diyakini mampu memupuk semangat kebersamaan serta memperluaskan jaringan yang akan memberi manfaat kepada pelajar sepanjang pengajian dan selepas bergelar alumni UPM.
Tarikh Input: 27/07/2026 | Kemaskini: 27/07/2026 | suziana.wil

Aras Bawah
Bangunan Pejabat Timbalan Naib Canselor
(Penyelidikan dan Inovasi)
Universiti Putra Malaysia
Off Lebuh Silikon
43400 UPM Serdang, Selangor