Oleh: Nur Fazrini Alia Binti Abd Majid
Suntingan: Ahmad Amirul Alias
Bangi, 18 September – Pusat Perhubungan Alumni UPM (ARCUPM) telah menyertai Simposium Kaunseling Kebangsaan 2025 (NCOSYM25) yang berlangsung di Royal Park Hotel @ UNITEN, Bangi pada 18 September 2025. Penyertaan ini adalah bersempena program Tracing Alumni for Collaboration and Engagement (TRACE)@Kaunselor 2025 Siri 1, yang bertujuan menjejaki serta menghubungkan semula alumni UPM dalam bidang kaunseling.

Melalui penglibatan ini, ARCUPM berusaha merapatkan hubungan dengan alumni yang kini berkhidmat sebagai kaunselor profesional di pelbagai agensi kerajaan, swasta serta organisasi bukan kerajaan. Kehadiran alumni ke NCOSYM25 telah membuka ruang yang lebih luas untuk memperkukuh silaturahim, meningkatkan jaringan profesional dan mewujudkan peluang kolaborasi strategik yang memberi manfaat bersama.
Sepanjang program, ARCUPM juga membuka reruai khas untuk mengemas kini data alumni melalui laman web AIS (Alumni Information System). Booth ini menjadi tarikan penting kerana membolehkan alumni mengemas kini maklumat peribadi mereka secara mudah, sekali gus membantu universiti mengekalkan pangkalan data alumni yang lebih komprehensif dan terkini.

Selain itu, Puan Nur Sahira Faghira, staf ARCUPM, turut diberi kesempatan untuk menyampaikan slot pitching ARCUPM bersama alumni UPM. Sesi tersebut telah memperkenalkan pelbagai inisiatif alumni, termasuk usaha memperkukuh jaringan, peluang kerjasama, serta peranan aktif ARCUPM dalam menyokong pembangunan kerjaya alumni.

Majlis turut diserikan dengan kehadiran Dato’ Dr. Abd Halim Mohd Hussin, Presiden PERKAMA. Penyertaan ini membuktikan komitmen berterusan ARCUPM dalam menjalin hubungan erat bersama alumni, di samping memperkukuh legasi universiti melalui penglibatan aktif dalam pelbagai program profesional. ARCUPM mengucapkan terima kasih kepada semua alumni yang hadir dan terus menyokong inisiatif ini.
Tarikh Input: 21/10/2025 | Kemaskini: 22/10/2025 | ainnanabilah

Aras Bawah
Bangunan Pejabat Timbalan Naib Canselor
(Penyelidikan dan Inovasi)
Universiti Putra Malaysia
Off Lebuh Silikon
43400 UPM Serdang, Selangor