Tahniah UPM Dalam Penarafan Terbaharu | Pusat Perhubungan Alumni
» BERITA » Tahniah UPM Dalam Penarafan Terbaharu

Tahniah UPM Dalam Penarafan Terbaharu

Oleh : Suziana Che Wil 

Suntingan : Nik Hafzaini Nik Hassan 

 

 

SERDANG - Universiti Putra Malaysia (UPM) meneruskan kecemerlangan dalam QS World University Rankings 2023 apabila berjaya membuat lonjakan sebanyak 20 anak tangga untuk berada pada kedudukan 123 terbaik dunia dan universiti kedua terbaik dalam negara. Kedudukan cemerlang ini sekali gus merekodkan pencapaian terbaik UPM dalam sejarah penarafan antarabangsa.

Merujuk kepada pencapaian UPM dalam QS World University Rankings 2023, empat (4) indikator penilaian menunjukkan peningkatan ranking iaitu Reputasi Akademik, Reputasi Majikan, Nisbah Staf Akademik dengan Pelajar dan Peratus Pelajar Antarabangsa dengan indikator pelajar antarabangsa dilihat sebagai kekuatan utama UPM apabila menduduki tempat ke-99 di dunia.

Ini menunjukkan reputasi serta pengiktirafan antarabangsa terhadap kemampuan dan kualiti akademik di UPM yang berjaya menarik minat pelajar antarabangsa untuk mengikuti program pengajian di UPM dan setanding dengan universiti terkemuka antarabangsa.

Naib Canselor UPM, YH. Prof. Dato’ Dr. Mohd Roslan Sulaiman berkata walaupun UPM berhadapan dengan pelbagai cabaran termasuk kesan daripada pandemik COVID-19, dedikasi dan sokongan penuh yang diperolehi dari pelbagai peringkat staf yang digembleng bersandarkan kepada misi, visi, nilai dan budaya kecemerlangan membolehkan UPM terus merekodkan kejayaan demi kejayaan dalam segala aspek terutamanya penyelidikan dan reputasi antarabangsa.

"Pencapaian ini diharapkan dapat membantu meningkatkan lagi kebitaraan UPM yang pada akhirnya akan memberikan sumbangan yang bermakna kepada kemajuan negara dan kesejahteraan masyarakat,” katanya.

Prof. Dato’ Dr. Mohd Roslan berkata walaupun terus mencatat peningkatan, sebagai institusi ilmu yang sentiasa mengutamakan kualiti dan kecemerlangan, UPM percaya ada banyak lagi ruang penambahbaikan agar kecemerlangan ini dapat terus dipertingkatkan.

“Antara inisiatif yang akan diteruskan ialah, memberi perhatian kepada kualiti penyelidikan dalam bidang tujahan utama khususnya bidang pertanian dan sekuriti makanan di samping meningkatkan reputasi universiti di peringkat lokal dan juga global,” katanya.

Bagi menjayakan agenda ini, UPM akan terus memperhebatkan usaha secara tersusun dan berstruktur melalui penanda aras dalam aspek amalan dan pencapaian UPM dengan universiti yang cemerlang di rantau ini dan juga dunia

Tarikh Input: 30/06/2022 | Kemaskini: 14/10/2022 | suziana.wil

PERKONGSIAN MEDIA

Pusat Perhubungan Alumni
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+6039769 1017
0386566933
BXETLA5~