Oleh: Husna Shafiyah binti Hishamuddin
Disunting oleh: Suziana binti Che Wil
SERDANG, 3 Ogos – Pusat Perhubungan Alumni Universiti Putra Malaysia (ARCUPM) telah menyertai Sesi Pembentangan Anugerah Inovasi Perkhidmatan (Kategori Pengurusan) sempena Hari Kualiti dan Inovasi Perkhidmatan (HKIP) UPM 2025–2026 menerusi pembentangan projek inovasi bertajuk Kerusi Legasi Alumni.
Pasukan ARCUPM yang diketuai oleh Encik Aiman Fikri Mohd. Aris Fadzillah telah membentangkan projek tersebut dengan sokongan Encik Fahmi Azar Mistar dan Puan Aida Fitri Peli. Pembentangan ini mengetengahkan inisiatif inovasi yang bertujuan memperkukuh penglibatan alumni serta menyokong usaha universiti dalam memperkasa penyampaian perkhidmatan melalui pendekatan yang lebih sistematik, lestari dan berimpak.

Keunikan Kerusi Legasi Alumni terletak pada pendekatannya yang berbeza daripada kebanyakan projek inovasi lain yang lazimnya berteraskan pembangunan sistem atau aplikasi digital. Projek ini merupakan satu-satunya inisiatif yang memberi penekanan kepada sentuhan insaniah (human touch), dengan matlamat menghubungkan semula alumni Universiti Putra Malaysia tanpa mengira latar belakang, profesion, lokasi mahupun tahun pengajian. Pendekatan ini mencerminkan komitmen ARCUPM dalam memperkukuh hubungan yang lebih bermakna dan berkekalan antara universiti dan komuniti alumninya.
Penyertaan ARCUPM dalam HKIP UPM 2025–2026 mencerminkan komitmen berterusan pusat ini terhadap pembudayaan inovasi dan penambahbaikan berterusan dalam penyampaian perkhidmatan. Inisiatif seperti Kerusi Legasi Alumni turut menyokong aspirasi Universiti Putra Malaysia untuk memperkukuh hubungan strategik bersama komuniti alumni melalui pelaksanaan projek yang memberi nilai tambah kepada universiti dan para pemegang taruh.

ARCUPM turut merakamkan penghargaan kepada barisan panel penilai atas pandangan, cadangan dan penilaian yang membina sepanjang sesi pembentangan. Maklum balas yang diberikan diharap dapat menjadi asas kepada penambahbaikan projek serta memperkukuh keberkesanan pelaksanaannya pada masa hadapan.
Penyertaan dalam Anugerah Inovasi Perkhidmatan ini diharapkan dapat terus menyemarakkan budaya inovasi, meningkatkan kecemerlangan penyampaian perkhidmatan dan menyokong usaha Universiti Putra Malaysia dalam menyediakan perkhidmatan yang berkualiti kepada warga universiti, alumni dan masyarakat.
Tarikh Input: 04/08/2026 | Kemaskini: 04/08/2026 | suziana.wil

Aras Bawah
Bangunan Pejabat Timbalan Naib Canselor
(Penyelidikan dan Inovasi)
Universiti Putra Malaysia
Off Lebuh Silikon
43400 UPM Serdang, Selangor