Oleh: Husna Shafiyah binti Hishamuddin
Disunting oleh: Suziana binti Che Wil
SERDANG, 1 Ogos – Biotech Alumni Hi-Tea 2026 yang berlangsung di Farm Grill House, UniPutra Golf Club, Universiti Putra Malaysia (UPM) telah berjaya menghimpunkan alumni Fakulti Bioteknologi dan Sains Biomolekul (FBSB), rakan industri serta tetamu kehormat dalam satu platform yang memperkukuh jaringan profesional, mengeratkan hubungan alumni dan menyemarakkan semangat kebersamaan dengan alma mater.
Majlis tersebut diserikan dengan kehadiran Datuk Ts. Nor Azman Hassan, Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan dan Pembangunan), Kementerian Pendidikan Tinggi, serta Dato' Ahmad Suaidi Abdul Rahim, Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, yang juga merupakan alumni Fakulti Bioteknologi dan Sains Biomolekul. Kehadiran kedua-dua tokoh ini mencerminkan kejayaan graduan UPM dalam menyumbang kepakaran dan kepimpinan di peringkat nasional.

Turut hadir mewakili Pusat Perhubungan Alumni Universiti Putra Malaysia (ARCUPM) ialah Puan Wan Nahariah Wan Tahir, Penolong Pendaftar Kanan, sebagai tanda sokongan universiti terhadap usaha memperkukuh hubungan berterusan dengan komuniti alumni.
Program ini menjadi platform yang bermakna untuk mempererat hubungan antara alumni, industri dan universiti melalui sesi jaringan profesional, perkongsian pengalaman serta interaksi yang menggalakkan pertukaran idea dan penerokaan peluang kerjasama. Penganjuran program seumpama ini turut memperkukuh peranan alumni sebagai rakan strategik universiti dalam menyokong pembangunan fakulti serta memperluas kolaborasi antara akademia dan industri.

Pihak penganjur merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua penganjur, penaja, sukarelawan, alumni dan semua pihak yang telah memberikan sokongan serta komitmen dalam menjayakan Biotech Alumni Hi-Tea 2026.
Penganjuran program ini mencerminkan komitmen berterusan Universiti Putra Malaysia dalam memperkasa jaringan alumni yang aktif dan berimpak. Diharapkan hubungan yang terjalin akan terus diperkukuh, sekali gus membuka lebih banyak peluang kolaborasi strategik serta meningkatkan sumbangan alumni kepada universiti, industri dan masyarakat.
Tarikh Input: 04/08/2026 | Kemaskini: 04/08/2026 | suziana.wil

Aras Bawah
Bangunan Pejabat Timbalan Naib Canselor
(Penyelidikan dan Inovasi)
Universiti Putra Malaysia
Off Lebuh Silikon
43400 UPM Serdang, Selangor