Contribution Of UPM Alumni Into UPM Endowment Fund | Alumni Relations Centre
» NEWS » Contribution of UPM Alumni into UPM Endowment Fund

Contribution of UPM Alumni into UPM Endowment Fund


Serdang, 21 Mei (UPM) – Pusat Alumni Universiti Putra Malaysia (UPM) menganjurkan majlis makan malam Homecoming Sirih Pulang Ke Gagang Kali Ke-9 untuk semua alumni universiti tersebut bagi menyemarakkan dan memekarkan hubungan alumni dengan alma mater serta sesama alumni sendiri bagi memupuk semangat kekitaan dan menjalinkan hubungan erat dengan pihak pentadbiran universiti pada 21 Mei yang lalu.

Pengarah Pusat Alumni UPM, Prof. Madya Dr. Mohd Bakri Hj. Ishak berkata, selain menyediakan platform untuk berkongsi pengalaman, penganjuran acara itu juga bertujuan mengumpul dana  untuk disalurkan ke Tabung Endowmen UPM  bagi memupuk budaya menyumbang atau giving back kepada alma mater dalam kalangan alumni agar membolehkan universiti terus berfungsi dalam menyebar luaskan ilmu pengetahuan kepada masyarakat secara lebih efektif dan menyeluruh.

“Pihak Pusat Alumni UPM (ACUPM) akan terus menyemarakkan penglibatan para alumni supaya lebih dinamik dan dapat merancang serta melaksanakan aktivit-aktiviti yang berteraskan pembentukan semangat kekitaan dan budaya menyumbang dalam kalangan alumni bagi meneruskan kelangsungan pembangunan alma mater UPM, ” katanya.

Tabung Endowmen UPM merupakan satu inisiatif yang bertujuan membantu UPM dalam usaha menyediakan pendidikan percuma kepada para pelajar UPM. Ianya merupakan dana kewangan yang disumbangkan atau didermakan oleh alumni UPM bagi tujuan menyediakan lebih banyak peluang pendidikan di peringkat tinggi seterusnya dapat mengurangkan pergantungan oleh universiti terhadap dana kerajaan. Endowmen bukan sahaja membantu pelajar dari segi bebanan perbelanjaan pendidikan tetapi juga menggalakkan lahirnya generasi berilmu yang kembali menyumbang kepada masyarakat dalam perlbagai aspek.

Acara kemuncak pada majlis tersebut adalah pelancaran Biasiswa Soh Kim Mee yang bernilai RM1,000,000.00 atas sumbangan ikhlas dari YBhg. Dato’ Soh Poh Sheng, Alumni UPM Kelas 1976 yang juga merupakan Pengarah Urusan Samsoney Group of Companies untuk disalurkan ke Tabung Endowmen UPM dalam usaha membantu menaja pembiayaan pendidikan kepada pelajar yang layak. Biasiswa tersebut diberi nama bersempena dengan nama mendiang ayah beliau. Pada majlis tersebut telah menyaksikan penyerahan “Replika Cek” berjumlah RM1,000,000.00 oleh YBhg. Dato’ Soh Poh Sheng sendiri kepada YBhg. Prof. Datin Paduka Dr. Aini Ideris, Naib Canselor UPM. Biasiswa Soh Kim Mee akan diberikan kepada satu (1) pelajar Bachelor dan satu (1) pelajar Diploma Jurusan Sains Pertanian pada setiap tahun bermula dari tahun 2016 yang mengehadkan dalam kalangan pelajar miskin.

Selain itu, pada majlis tersebut juga turut menyaksikan penyerahan “Replika Cek” oleh penaja-penaja yang menyumbang ke dalam Tabung Endowmen UPM iaitu Brahim’s Dewina Group of Companies sebanyak RM30,000.00, UPM Holdings Sdn. Bhd. sebanyak RM30,000.00, Usaha Jana Sdn. Bhd. sebanyak RM20,000.00 dalam bentuk in kind dan Felcra Plantation Services Sdn. Bhd. sebanyak RM10,000.00. Sumbangan-sumbangan tersebut memainkan peranan yang besar dalam menentukan masa hadapan dan kelestarian pembangunan UPM dalam menyokong program pendidikan kepada pelajar UPM yang memerlukan bantuan. Dalam pada masa yang sama, ia juga dapat membantu pelajar UPM mendapatkan pendidikan yang berkualiti seperti yang diimpikan mereka.

Pada malam majlis Homecoming itu juga telah diedarkan tabung khusus sempena kempen MY 1Alumni 1Ringgit sebagai salah satu usaha merancakkan dana Tabung Endowmen UPM. Melalui kempen MY1A1R tersebut, Pusat Alumni menerima sumbangan tunai sebanyak RM3,145.00 daripada alumni-alumni yang hadir pada majlis tersebut untuk disalurkan ke Tabung Endowmen UPM. Sumbangan yang dihulurkan jelas menggambarkan bahawa UPM sememangnya memiliki sebuah komuniti alumni yang mantap serta mempunyai keinginan untuk membantu dalam pembangunan pendidikan universiti.

Alumni memainkan peranan penting dalam membentuk kemajuan universiti terutama dalam bidang akademik, memegang jawatan dalam lembaga pengarah, mengutarakan pandangan, menjadi ahli penyelidikan dan pembangunan serta menyediakan peluang-peluang pekerjaan atau latihan industri kepada pelajar.

“Kita akan terus menyumbang kepada UPM dalam pelbagai bentuk sebagai tanda berterima kasih dan kecintaan terhadap institusi pengajian ini kerana alumni dan universiti saling memerlukan,” kata Pengarah Pusat Alumni UPM.


Date of Input: | Updated: | amir_peli

MEDIA SHARING

Alumni Relations Centre
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+6039769 1017
0386566933
BXEYWAI~