Oleh: Anis Hannani Mohd Fuad Mahadi
Disunting oleh: Suziana Che Wil

Serdang, 8 Ogos - Persembahan penutup Malam Puisi Alumni diserikan dengan kehadiran tiga bakat muda dari Asasi Sains Putra (ASPUTRA) — Nur Rusydah Wajihah Rahim, Muhammad Irsyad Ikhwan Mohamed Nasir, dan Baiq Afiqah Ayu Anjani Diraman. Membawakan puisi berjudul “Warisan Keberanian” karya S.M. Noor, trio ini tampil penuh semangat, membuktikan bahawa walaupun masih muda dan sedang dalam proses membina identiti, bakat serta jiwa mereka dalam dunia puisi tidak boleh dipertikaikan. Setiap bait yang mereka suarakan membawa semangat keberanian, keindahan warisan, dan tekad generasi muda untuk terus menyemarakkan seni kata bangsa.
Lebih istimewa, ketiga-tiga mereka adalah antara 18 peserta Pertandingan Puisi Digital yang dimuat naik di TikTok rasmi UPM, dan terpilih untuk berdiri di pentas berprestij ini berdasarkan jumlah tontonan tertinggi. Malam tersebut pastinya menjadi momento berharga dalam hidup mereka — bukan sahaja sebagai pengalaman berharga di pentas universiti, tetapi juga sebagai titik permulaan perjalanan seni dan kehidupan mereka sebelum bergelar alumni UPM suatu hari nanti.
Mengiringi hembusan malam yang penuh nostalgia, pentas Malam Puisi Alumni turut disemarakkan dengan persembahan santai namun penuh rasa daripada Kumpulan Buskers Alam Maya. Dibarisi oleh dua alumni berbakat besar, Encik Samsul Bahari (Alumni UPM Kelas 2000 & 2003, Kolej Pendeta Za’ba) dan Encik Mohd Sukri (Alumni UPM Kelas 2000 & 2004, Kolej Sepuluh), mereka mengalunkan lagu malar segar “Kepadamu Kekasih” dengan melodi yang benar-benar menyentuh jiwa.
Bukan sekadar sebuah lagu, tetapi ia menjadi titipan cerita, harapan, dan suara anak seni yang membangkitkan nostalgia dan kenangan indah buat semua yang hadir. Dengan harmoni suara dan petikan muzik yang merdu, malam yang penuh makna itu diakhiri dengan satu perasaan kebersamaan, cinta seni, dan kebanggaan sebagai warga serta alumni UPM.
Tarikh Input: 08/12/2025 | Kemaskini: 08/12/2025 | anishannani

Aras Bawah
Bangunan Pejabat Timbalan Naib Canselor
(Penyelidikan dan Inovasi)
Universiti Putra Malaysia
Off Lebuh Silikon
43400 UPM Serdang, Selangor