UPM DULU-DULU Gamit Nostalgia 50 Tahun UPM | Pusat Perhubungan Alumni
» BERITA » UPM DULU-DULU Gamit Nostalgia 50 Tahun UPM

UPM DULU-DULU Gamit Nostalgia 50 Tahun UPM

SERDANG  - Sempena menyemarakkan Sambutan Perayaan Jubli Emas 50 Tahun UPM (1971-2021), alumni UPM merangkap pentadbir Facebook UPM DULU-DULU, berganding bahu meraikan sambutan ini dalam normal baharu menerusi platform media sosial tersebut.

Penolong Pendaftar, Pusat Perhubungan Alumni UPM, Nik Hafzaini Nik Hassan berkata, Pusat Perhubungan Alumni dan UPM menyokong penuh hasrat murni yang dilakukan ini dalam usaha membawa alumni kembali kepada alma mater.

  

“Mereka ini datangnya daripada pelbagai zaman dan latar. Pelbagai kisah dan nostalgia berjaya dikisahkan semula dan seterusnya mendatangkan rasa kecintaan yang mendalam kepada universiti. Apa yang lebih penting, melalui grup ini juga data-data alumni dapat dikemaskini dan segala tata cara posting dan sebagainya dikawal selia oleh Pusat Perhubungan Alumni demi menjaga sensitiviti UPM dan warganya,” ulas beliau.

Admin grup UPM DULU-DULU, diselenggara alumni institusi berkenaan iaitu Shahrudin Mahadi, Zulkifli Ahmad dan Mohd Razman Faizal Sulaiman. Grup dibangunkan bermula 1 Jun 2021 hingga kini berjaya mengumpul lebih 7,000 alumni. Ia dibina bertujuan menyemarakkan rasa kebersamaan alumni dan alma mater dan sekaligus membuka ruang untuk terus berhubung.

Salah seorang alumni, Ghazali Salamat (Alumni Kelas 1970) dari Kolej Pertanian Malaya, menggamit kenangan berendam dalam lumpur sewaktu minggu orientasi.

“Para junior dipaksa masuk ke dalam lumpur dengan berseluar pendek. Kisah itu kini menjadi memori sangat berharga buat mereka. Selepas orientasi hubungan senior dan junior menjadi semakin rapat dan saling membantu, baik dalam pelajaran mahupun kehidupan kolej zaman itu”

Pengalaman melalui Pemberontakan 13 Mei 1969 turut dikongsi alumni. Waktu itu sesi pembelajaran terpaksa dihentikan seketika akibat pemberontakan dan bersambung setahun kemudiannya.

Setiap paparan menyaksikan pelbagai getir dilalui demi segulung sijil. Ia memberi sinonim kepada pelajar yang pengajiannya tergendala akibat Covid-19, yang mana ia turut terakam sebagai lipatan sejarah untuk generasi akan datang.

Kawah Suria

Facebook UPM DULU-DULU turut menyebut setiap pelajar UPM pasti mengetahui kisah Kawah Suria yang boleh dikatakan ‘urban legend’.

Pengarah Pusat Perhubungan Alumni UPM, Prof Madya Dr Arba’ie Sujud berkata, pelbagai  dogengan dibawakan oleh senior kepada junior mengenai jawapan sebuah kawah yang terletak dalam kampus UPM ini. Hanya pada 2021 inilah baharu ramai yang tahu, apa yang dimaksudkan dengan kawah suria.

“Jika ada bekas mahasiswa daripada UPM namun tidak pernah sampai ke sini, anda belum habis teroka kampus Serdang yang berkeluasan hampir 8.8 hektar ini.

“Ada kalangan alumni berkongsi pernah mencatatkan nama di atas tower kawah ini sebagai tanda mereka pernah sampai disitu.

“Jika dikenang kembali sungguh nostalgik. Itulah zaman kampus dan tiada mungkin pengalaman itu dapat ditempat lain. Pasti ramai bekas mahasiswa yang mahu mengetahui apa sebenarnya kawah suria ini, untuk mengetahuinya anda dijemput untuk daftarkan diri di Facebook UPM DULU-DULU,” ulas beliau.

 

 

 

Tarikh Input: 11/06/2021 | Kemaskini: 01/07/2021 | alif.isnain

PERKONGSIAN MEDIA

Pusat Perhubungan Alumni
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+6039769 1017
0386566933
BXEUFAx~