UPM ALUMNI GOLDEN FIT | Pusat Perhubungan Alumni
» BERITA » UPM ALUMNI GOLDEN FIT

UPM ALUMNI GOLDEN FIT

5 Februari 2021 - UPM Alumni Golden Fit merupakan sebuah acara kecergasan maya yang diadakan untuk mempromosikan amalan gaya hidup sihat dalam kalangan masyarakat terutamanya alumni Universiti Putra Malaysia (UPM) ketika pandemik Covid-19. Acara bersempena Sambutan Perayaan Jubli Emas 50 Tahun (1971-2021) UPM ini dianjurkan oleh sebuah kumpulan pelajar UPM iaitu Chapter Student Ambassador (CSA) dengan kerjasama Pusat Perhubungan Alumni UPM, Persatuan Alumni UPM, Bahagian Hal Ehwal Pelajar UPM dan KDS Apparel. Program yang sedang berlangsung sehingga 30 Jun 2021 ini membawa hasrat untuk mengembalikan semula alumni ke alma mater secara dalam talian walau apa pun situasi yang menduga.


Pendaftaran acara ini telah dibuka pada 5 Februari 2021 dengan menjemput para alumni UPM, warga UPM dan orang awam untuk sertai melalui pautan yang dihebahkan melalui media sosial rasmi Pusat Perhubungan Alumni UPM. Peserta boleh merekod aktiviti kecergasan mereka selepas pendaftaran dengan menggunakan aplikasi kecergasan seperti Strava, Runtastic, Nike Run Club dan Runtracker. Terdapat dua (2) kategori yang ditawarkan iaitu 25 KM dan 50 KM. Peserta boleh melakukan pelbagai aktiviti kecergasan seperti larian, kayuhan, jalan kaki, malah penggunaan pengisar injakan juga diambil kira untuk peserta melengkapkan jarak yang dipilih.

Pelbagai cenderamata eksklusif yang direka khas bersempena sambutan 50 tahun UPM boleh dimiliki oleh peserta. Antaranya ialah baju t-shirt penamat, medal emas dan perak, pelitup muka dan e-sijil. Acara ini kurang lengkap tanpa disajikan dengan kisah inspirasi daripada ikon contoh dalam kalangan alumni UPM yang aktif melakukan amalan hidup sihat.

Encik Airulmi Mokhtar merupakan seorang bekas pesakit jantung yang kini sedang bergiat aktif dalam aktiviti kecergasan terutamanya larian. Alumni UPM kelas 2001 yang mengurangkan berat badan daripada 105 kg ini sedang mempromosikan amalan gaya hidup yang sihat dan berkongsi pengalaman beliau melalui saluran youtube yang diberi nama al Rumie. Beliau yang kini bertugas sebagai Timbalan Naib Presiden Pembangunan Perniagaan di Sime Darby Plantation terus memberikan sentuhan dan inspirasi kepada 5 700 orang pelanggan youtube melalui pesanan ”Sebarkan Kebaikan” dan slogan “Minat, Kerja Keras dan Ikhlas”.

Inspirasi yang sama dikongsikan oleh Encik Khairul Shazwali Taib. Beliau merupakan seorang bekas pesakit kegagalan buah pinggang yang pernah berlari ketika memakai tiub sebelum menjalani pemindahan buah pinggang. Beliau yang menamatkan pengajian di UPM pada tahun 2012, pernah dijemput sebagai penceramah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi kempen kesihatan buah pinggang. Beliau yang bertugas sebagai konsultan teknikal kini dilantik sebagai penyelenggara bagi laman sosial Facebook MYBuahPinggang bersama pakar bagi menyebarkan maklumat yang tepat berkenaan kesihatan buah pinggang kepada masyarakat.

 

Aura yang hebat turut ditampilkan oleh Encik Ravichandran, alumni UPM kelas 1990 yang pernah menawan Puncak Gunung Everest pada tahun 2006 dan 2007. Beliau juga merupakan Pendaki Solo Pertama Negara dalam mendaki Gunung Everest. Beliau amat berpengalaman dalam 6 ekspedisi gunung di dunia yang berketinggian lebih dari 8000 meter. Selain daripada itu, beliau juga sudah menawan kebanyakan puncak 7 benua (seven summit) dan sekarang ini menjadi mountain guider untuk sebahagian puncak 7 benua. Semangat yang kukuh terhadap slogan keramat “Malaysia Boleh” menjadi asas panduan kepada beliau untuk terus mengamalkan aktiviti kecergasan walaupun beliau pernah kehilangan jari ketika pendakian semasa cuaca sejuk melampau.

Tarikh Input: 15/02/2021 | Kemaskini: 12/03/2021 | sufian.ismail

PERKONGSIAN MEDIA

Pusat Perhubungan Alumni
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+6039769 1017
0386566933
BXEYLAU~