UMMU QATRUNNADA LIYANA KAMARUDDIN TERIMA ANUGERAH SEKURITI MAKANAN FARM FRESH DI MAJLIS KONVOKESYEN UPM KALI KE 47 | Pusat Perhubungan Alumni
» BERITA » UMMU QATRUNNADA LIYANA KAMARUDDIN TERIMA ANUGERAH SEKURITI MAKANAN FARM FRESH DI MAJLIS KONVOKESYEN UPM KALI KE 47

UMMU QATRUNNADA LIYANA KAMARUDDIN TERIMA ANUGERAH SEKURITI MAKANAN FARM FRESH DI MAJLIS KONVOKESYEN UPM KALI KE 47

Oleh: Suziana Che Wil 

 

 

SERDANG - Ummu Qatrunnada Liyana Kamaruddin, graduan Bacelor Sains Pertanian yang merupakan Alumni kelas 2023 telah dianugerahkan sebagai penerima pertama Anugerah Sekuriti Makanan Farm Fresh sempena Majlis Konvokesyen UPM ke-47. Anugerah yang julung kali diperkenalkan ini juga antara anugerah dan hadiah utama universiti yang diurus kendali oleh Pusat Perhubungan Alumni.

Hadiah ini yang julung kali diadakan ini diharapkan dapat menyuntik semangat para belia untuk terus meneroka sektor sekuriti makanan di Malaysia dan seterusnya dapat menyumbangkan sesuatu yang bermanfaat kepada bangsa, agama dan negara.

Ini seiring dengan matlamat pihak penaja utama hadiah itu sendiri iaitu Farm Fresh Sdn Bhd, yang mahukan keterlibatan para belia dalam bidang keterjaminan makanan terutamanya bidang yang berkaitan dengan susu itu sendiri.

 

“Kami mengharapkan dengan adanya anugerah seperti ini, menjadi satu suntikan semangat untuk para belia terlibat dengan lebih serius dalam bidang sekuriti makanan terutamanya produk ataupun bidang berkaitan susu. Boleh dikatakan sebelum ini para belia kurang berminat kea rah itu dan kami sebagai ‘pemain’ utama bidang berkaitan susu dalam industri ingin mengajak lebih ramai belia terutamanya graduan baharu untuk sama-sama meneroka bidang ini dengan lebih serius lagi. Saya selaku wakil daripada pihak Farm Fresh mengucapkan tahniah kepada Adik Ummu atas kejayaan merangkul anugerah ini,” Ujar Encik Joseph Mathan, wakil penaja.

Saudari Ummu sendiri tidak menjangkakan bakal menerima hadiah utama universiti dan dia merasakan pengorbanannya yang terpaksa menangguhkan pengajian selama dua tahun kerana menjaga arwah ibu yang sakit, dirasakan sangat berbaloi.

“Pastinya ini adalah hadiah yang cukup bermakna buat saya. Selepas mengharungi pelbagai cabaran akhirnya hari ini saya berjaya bergraduat dan lebih istimewa turut menerima hadiah utama university iaitu Anugerah Sekuriti Makanan Farm Fresh. Selaku graduan pertama yang menerima hadiah ini, ianya memberi satu Amanah dan tanggungjawab besar buat saya dan saya menyokong Hasrat universiti dan penaja dalam memandang serius isu berkaitan keterjaminan makanan di Malaysia khasnya. Saya juga ingin menyeru kepada semua belia dan graduan dalam bidang ini agar kita terus mengambil tanggungjawab ini dengan ilmu yang kita untuk terus menyokong dan memberi yang terbaik buat seluruh rakyat Malaysia.” Ujar Ummu yang ditemui sejurus selesai sesi pertama, konvokesyen.

Pusat Perhubungan Alumni mengucapkan selamat maju jaya dalam apa juga bidang yang diceburi dan selamat kembali berbakti kepada alma mater selaku Alumni UPM dengan semangat yang tidak akan luntur iaitu ‘Berilmu Berbakti’.

 

Tarikh Input: 28/11/2023 | Kemaskini: 19/12/2023 | shahirahalia

PERKONGSIAN MEDIA

Pusat Perhubungan Alumni
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+6039769 1017
0386566933
BXEcFAi~