Oleh: Nur Fazrini Alia Abd Majid
Disunting oleh: Suziana Che Wil
Serdang, 12 November – Program Tracing Alumni for Collaboration and Engagement (TRACE)@Sukan 2025 Siri 1 anjuran Pusat Perhubungan Alumni Universiti Putra Malaysia (ARCUPM) telah berlangsung dengan jayanya bersempena Seminar Prestasi dan Inovasi Sukan 2025 yang diadakan di Auditorium Rashdan Baba, UPM.
Program yang dijalankan dari jam 12.30 tengah hari hingga 2.00 petang ini menjadi platform strategik untuk mengumpulkan, mengemaskini, serta menjejak maklumat alumni UPM khususnya dalam bidang sukan. Inisiatif ini turut berperanan sebagai jambatan dalam memperkukuh hubungan silaturahim, membina jaringan profesional dan membuka peluang kolaborasi antara alumni serta universiti.

Sepanjang program ini, seramai lima alumni UPM berjaya dijejaki, antaranya ialah Encik Mohd Azlan bin Abdul Mubin, bekas pemain sepak takraw Malaysia yang juga merupakan Alumni UPM Kelas 2009. Kehadiran beliau dalam seminar ini menyerikan lagi suasana dan menjadi inspirasi kepada pelajar serta peserta lain yang turut hadir.
Program TRACE@Sukan 2025 ini bukan sahaja menjadi wadah pengumpulan data alumni, malah turut berperanan sebagai medium pengiktirafan kepada alumni yang terus mencipta kejayaan dalam bidang sukan di peringkat nasional dan antarabangsa.

Kesimpulannya, kejayaan penganjuran program ini membuktikan komitmen berterusan ARCUPM dalam menjejaki, menghargai dan menghubungkan alumni UPM daripada pelbagai bidang kepakaran, sejajar dengan semangat “Berilmu Berbakti” yang menjadi identiti universiti ini.
Tarikh Input: 18/11/2025 | Kemaskini: 18/11/2025 | ainnanabilah

Aras Bawah
Bangunan Pejabat Timbalan Naib Canselor
(Penyelidikan dan Inovasi)
Universiti Putra Malaysia
Off Lebuh Silikon
43400 UPM Serdang, Selangor