Oleh: Nur Fazrini Alia Binti Abd Majid
Suntingan: Ahmad Amirul Alias
Serdang, 24 September - Program Tracing Alumni for Collaboration and Engagement (TRACE)@PUTRA 2025 Siri 1 telah dianjurkan dengan jayanya di Farm Fresh@UPM pada 24 September 2025, bermula jam 3.00 petang hingga 5.00 petang. Program anjuran Pusat Perhubungan Alumni UPM (ARCUPM) ini menghimpunkan alumni Universiti Putra Malaysia (UPM), khususnya mereka yang kini berkhidmat di universiti.
Objektif utama penganjuran adalah untuk mengeratkan ukhuwah sesama alumni, memperkukuh rangkaian profesional, serta meneroka peluang kerjasama strategik demi pembangunan universiti dan mahasiswa. Keistimewaan program ini terletak pada fokusnya terhadap alumni UPM yang bekerja di kampus sendiri, menjadikannya siri TRACE pertama yang menumpukan kepada komuniti alumni dalaman.

Program turut diserikan dengan kehadiran alumni penyumbang biasiswa pelajar, iaitu Tuan Haji Mat Razi Abdullah (Biasiswa Cyperus 92’), Puan Rafidah Sadarudin (Biasiswa BAKTIGA), Encik Muhamad Fiddezuan Ahmad Murad (Biasiswa Mahasiswa Putra), dan Cik Sara Hazeqqa Johari (Biasiswa Mahasiswa Putra). Kehadiran mereka mencerminkan sokongan berterusan alumni dalam membantu pelajar serta menyumbang kembali kepada alma mater.

Selain itu, alumni dari pelbagai sektor industri turut hadir berkongsi pengalaman dan kisah inspirasi, sekali gus membuka ruang kepada kolaborasi yang memberi manfaat bersama.

Secara keseluruhan, program ini diharap dapat menjadi pemangkin kepada pengukuhan jaringan alumni UPM di peringkat kampus dan seterusnya menyokong aspirasi universiti ke arah kecemerlangan bertaraf antarabangsa.
Tarikh Input: 22/10/2025 | Kemaskini: 22/10/2025 | ainnanabilah

Aras Bawah
Bangunan Pejabat Timbalan Naib Canselor
(Penyelidikan dan Inovasi)
Universiti Putra Malaysia
Off Lebuh Silikon
43400 UPM Serdang, Selangor