Oleh: Nur Fazrini Alia Binti Abd Majid
Disunting oleh: Suziana Che Wil
Serdang, 18 & 19 Oktober – Program Tracing Alumni for Collaboration and Engagement (TRACE)@Pertanian telah berlangsung dengan jayanya di Dewan Besar, Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PKKSSAAS), Universiti Putra Malaysia (UPM) bersempena dengan Persidangan Komuniti Pertanian Kebangsaan (PKPK) 2025 yang bertemakan “Inovasi Pertanian Pemangkin Komuniti Hijau.”

Persidangan ini turut diiktiraf oleh The Malaysian Book of Records sebagai persidangan pertama yang menghimpunkan komuniti pertanian Malaysia dalam satu platform sejak tahun 2023, menjadikannya antara acara terbesar yang menghimpunkan pakar dan penggiat industri pertanian di negara ini.
Sepanjang dua hari penganjuran, sebanyak 29 alumni UPM telah berjaya dijejaki dan dikemas kini maklumat mereka melalui platform TRACE@Pertanian. Program ini memberi peluang kepada alumni untuk terus menjalin hubungan dengan universiti, memperkukuh jaringan profesional serta membuka ruang kolaborasi baharu dalam bidang pertanian dan keusahawanan tani.


Turut menarik perhatian ialah kehadiran Timbalan Pengarah Pusat Perhubungan Alumni UPM, Dr. Muhammad Mu’az Mahmud, yang turut tampil sebagai salah seorang pakar dalam Klinik Pakar UPM, dengan bidang kepakaran dalam Keusahawanan Perniagaan Tani. Selain beliau, ramai lagi pakar pertanian dari pelbagai disiplin turut menyertai sesi ini, menjadikan program tersebut sebagai pusat rujukan dan perkongsian ilmu yang bermanfaat kepada komuniti.
Program ini bukan sahaja berperanan dalam pengumpulan dan pengemaskinian data alumni, tetapi turut menjadi platform strategik untuk memperkukuh silaturahim serta membina rangkaian kolaborasi jangka panjang antara alumni dan universiti.

Kesimpulannya, penganjuran TRACE@Pertanian 2025 membuktikan kesungguhan UPM dalam memperkukuh jaringan alumni serta mengiktiraf sumbangan mereka dalam pembangunan sektor pertanian negara. Dengan semangat “Berilmu Berbakti,” alumni UPM terus menjadi penyumbang utama dalam mencorak masa depan pertanian yang lebih lestari dan inovatif.
Tarikh Input: 27/10/2025 | Kemaskini: 27/10/2025 | ainnanabilah

Aras Bawah
Bangunan Pejabat Timbalan Naib Canselor
(Penyelidikan dan Inovasi)
Universiti Putra Malaysia
Off Lebuh Silikon
43400 UPM Serdang, Selangor