Oleh: Nur Fazrini Alia Binti Abd Majid
Disunting oleh: Suziana Che Wil
Serdang, 22 Oktober – Program Tracing Alumni for Collaboration and Engagement (TRACE)@Kaunselor Siri 2 telah berlangsung dengan jayanya pada Rabu, 22 Oktober 2025, bertempat di Dewan Besar, Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PKKSSAAS), Universiti Putra Malaysia (UPM) dari jam 8.00 pagi hingga 4.30 petang.
Program ini merupakan kesinambungan kepada siri pertama yang telah diadakan sebelum ini dan terus menjadi platform penting bagi menjejak serta mengemas kini maklumat alumni dalam bidang kaunseling. Penganjuran kali ini telah berjaya menjejaki seramai 12 alumni UPM, sekali gus memperkukuh jaringan profesional dan silaturahim antara alumni serta pihak universiti.

Majlis perasmian telah disempurnakan oleh YBhg. Dato’ Dr. Abd Halim bin Mohd Hussin, Presiden PERKAMA International, yang turut menyatakan penghargaan terhadap usaha berterusan UPM dalam memperkukuh hubungan dengan alumni melalui penganjuran program seperti TRACE.
Program turut dimeriahkan dengan perkongsian inspirasi daripada Ikon Jemputan, Encik Fadzli bin Aziz, seorang Kaunselor Keluarga dan Perunding Motivasi, yang juga merupakan graduan Bacelor Pendidikan (Bimbingan & Kaunseling) UPM. Beliau berkongsi pengalaman serta pandangan mengenai cabaran dan peluang dalam dunia kaunseling masa kini yang mampu memberi inspirasi kepada para peserta dan alumni.


Selain reruai Pusat Perhubungan Alumni UPM (ARCUPM), pelbagai agensi dan institusi turut membuka reruai masing-masing termasuk Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Pusat Kaunseling UPM, Hospital Sultan Abdul Aziz Shah (HSAAS) dan beberapa organisasi lain. Kehadiran mereka telah memperkukuh nilai jaringan dan perkongsian ilmu dalam bidang kaunseling dan pembangunan insan.

Kesimpulannya, penganjuran TRACE@Kaunselor Siri 2 bukan sahaja menjadi wadah menjejaki alumni, tetapi turut berfungsi sebagai platform strategik untuk memperkukuh hubungan, kolaborasi dan pertukaran kepakaran antara alumni, pelajar serta profesional industri. Dengan semangat “Berilmu Berbakti”, alumni UPM terus memainkan peranan penting dalam memartabatkan bidang kaunseling dan memperkasa pembangunan modal insan negara.
Tarikh Input: 27/10/2025 | Kemaskini: 27/10/2025 | ainnanabilah

Aras Bawah
Bangunan Pejabat Timbalan Naib Canselor
(Penyelidikan dan Inovasi)
Universiti Putra Malaysia
Off Lebuh Silikon
43400 UPM Serdang, Selangor