TEMUDUGA BIASISWA SOH KIM MEE 2026 BERLANGSUNG LANCAR DI UPM | Pusat Perhubungan Alumni 127
» BERITA » TEMUDUGA BIASISWA SOH KIM MEE 2026 BERLANGSUNG LANCAR DI UPM

TEMUDUGA BIASISWA SOH KIM MEE 2026 BERLANGSUNG LANCAR DI UPM

Oleh: Husna Shafiyah binti Hishamuddin

 

Disunting oleh: Suziana binti Che Wil

SERDANG, 9 Julai – Pusat Perhubungan Alumni, Universiti Putra Malaysia (UPM) telah berjaya menganjurkan Sesi Temuduga Biasiswa Soh Kim Mee Tahun 2026 pada 9 Julai 2026 di Pusat Perhubungan Alumni UPM sebagai sebahagian daripada proses pemilihan penerima biasiswa bagi tahun ini.

Seramai empat orang calon telah menghadiri sesi temuduga yang dijalankan bagi menilai kelayakan dan potensi mereka untuk dipertimbangkan sebagai penerima Biasiswa Soh Kim Mee 2026. Proses pemilihan ini mencerminkan komitmen UPM dalam memastikan pemilihan penerima biasiswa dilaksanakan secara telus, adil dan berintegriti.

Sesi temuduga telah dikendalikan oleh panel penemuduga yang terdiri daripada Dr. Muhammad Mu'az Mahmud, Timbalan Pengarah Pusat Perhubungan Alumni UPM selaku Ketua Panel, Encik Mohamad Fiddezuan Ahmad Murad sebagai wakil akademik, Puan Wan Suzaimas Wan Sulaiman sebagai wakil Pejabat Bursar, Tuan Haji Wan Zaharuddin Wan Abdullah @ Wan Abd Rahman sebagai wakil Bahagian Hal Ehwal Pelajar (BHEP), serta Encik Aiman Fikri Mohd Aris Fadzilah mewakili Pusat Perhubungan Alumni UPM.

Penganjuran sesi temuduga ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan UPM dalam menyokong pembangunan modal insan melalui pemberian bantuan pendidikan kepada pelajar yang berpotensi cemerlang. Selain pencapaian akademik, proses penilaian turut mengambil kira sahsiah, komitmen dan potensi calon untuk menyumbang kepada masyarakat pada masa hadapan.

Pusat Perhubungan Alumni UPM merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua ahli panel penemuduga dan urus setia yang telah memberikan komitmen serta kerjasama dalam memastikan sesi temuduga ini berlangsung dengan lancar dan teratur.

Semoga proses pemilihan yang dilaksanakan dapat mengenal pasti calon yang benar-benar layak menerima Biasiswa Soh Kim Mee 2026 serta menjadi pemangkin kepada kecemerlangan akademik, pembangunan sahsiah dan pembentukan kepimpinan dalam kalangan pelajar. Inisiatif ini mencerminkan komitmen berterusan UPM dalam melahirkan graduan berkualiti yang mampu menyumbang secara signifikan kepada pembangunan masyarakat dan negara.

 

Tarikh Input: 20/07/2026 | Kemaskini: 20/07/2026 | suziana.wil

PERKONGSIAN MEDIA

Pusat Perhubungan Alumni
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+6039769 1017
0386566933
X, (10:55:41am-11:00:41am, 08 Aug 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]