Oleh: Nur Fazrini Alia Binti Abd Majid
Disunting oleh: Suziana Che Wil
Serdang, 22 Oktober – Sesi Temuduga Biasiswa Cyperus 92’ (4.0) telah berlangsung dengan jayanya secara dalam talian melalui platform Google Meet pada 22 Oktober 2025. Program ini merupakan inisiatif murni oleh kumpulan alumni Cyperus 92’ yang bertujuan membantu pelajar Diploma Pertanian, Fakulti Sains Pertanian dan Perhutanan, Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu Sarawak (UPMKB) yang berpotensi tinggi namun memerlukan bantuan kewangan bagi meneruskan pengajian mereka.

Sesi temuduga ini telah dikendalikan oleh barisan panel yang terdiri daripada Encik Fahmi Azar Mistar, Pengarah Pusat Perhubungan Alumni UPM selaku Ketua Panel; Tuan Haji Mat Razi Abdullah, Timbalan Pendaftar Pusat Asasi Sains UPM merangkap penaja biasiswa; Encik Mohd Nazri bin Md Yasin, Ketua Pentadbiran Bahagian Kemasukan dan Urus Tadbir Akademik UPM; Puan Sharinah binti Muztaba, Akauntan Bahagian Kewangan UPM Kampus Bintulu; Encik Mohamad Syukri bin Mohamad Adnan, Ketua Pentadbir Pejabat Pengurusan Pelajar UPM Kampus Bintulu; serta Dr. Muhammad Mu’az Mahmud, Timbalan Pengarah Pusat Perhubungan Alumni UPM.
Sesi temuduga telah diselaraskan dengan baik oleh Encik Aiman Fikri Mohd Aris Fadzilah sebagai urus setia, bagi memastikan proses pemilihan berjalan dengan lancar dan teratur. Para panel turut menilai bukan sahaja pencapaian akademik, tetapi juga keperibadian, potensi kepimpinan dan semangat pelajar untuk berjaya.

Menurut Encik Fahmi Azar Mistar, inisiatif biasiswa ini melambangkan keprihatinan alumni terhadap pelajar UPMKB serta semangat untuk memberi kembali kepada universiti. Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada kumpulan Cyperus 92’ atas komitmen mereka dalam menyokong pelajar melalui bentuk bantuan yang bukan sahaja bersifat kewangan, tetapi juga moral dan motivasi.
Kesimpulannya, pelaksanaan Temuduga Biasiswa Cyperus 92’ (4.0) Tahun 2025 membuktikan semangat kebersamaan dan tanggungjawab sosial dalam kalangan alumni UPM. Usaha ini selaras dengan nilai “Berilmu Berbakti”, yang terus menjadi teras kepada budaya alumni dalam menyumbang semula kepada pembangunan pelajar dan kecemerlangan universiti.
Tarikh Input: 28/10/2025 | Kemaskini: 14/01/2026 | ainnanabilah

Aras Bawah
Bangunan Pejabat Timbalan Naib Canselor
(Penyelidikan dan Inovasi)
Universiti Putra Malaysia
Off Lebuh Silikon
43400 UPM Serdang, Selangor