Oleh: Nur Fazrini Alia Abd Majid
Disunting oleh: Suziana Che Wil
Shah Alam, 20 Januari 2026 – Sekretariat Majalah Alumni Serdang Sun telah mengadakan satu sesi temu bual khas bersama Encik Hafidz Arifin, alumni Universiti Putra Malaysia Kelas 2009 dari Kolej Keenam, yang merupakan pengasas kepada AKE Benefigs Arus Sdn. Bhd, sebuah syarikat yang giat mengusahakan industri buah tin bernilai tinggi di Malaysia.
Encik Hafidz memulakan kerjayanya dalam industri minyak dan gas serta pernah menimba pengalaman bekerja di luar negara sebelum mengambil keputusan untuk menceburi bidang keusahawanan. Pada tahun 2018, beliau menubuhkan AKE Benefigs dengan visi membangunkan pertanian buah tin secara komersial dan berimpak tinggi. Kini, syarikat tersebut mengendalikan enam ladang utama yang terletak di Kuala Langat, FELDA Sungai Tengi Selatan, Janda Baik, Pasir Puteh (Kelantan), Jasin (Melaka) dan Shah Alam, Selangor.


AKE Benefigs turut mengusahakan sebanyak 28 varieti buah tin yang cepat berbuah serta mempunyai potensi pasaran yang luas. Keseluruhan bahagian pokok tin termasuk daun, buah dan batang dimanfaatkan secara menyeluruh bagi menghasilkan pelbagai produk berasaskan makanan dan kesihatan. Sehingga kini, sebanyak 10 produk telah dikeluarkan antaranya Sambal Buah Tin, Fiq Leaves Sachet dan Bio Fiq Booster.
Dalam sesi temu bual tersebut, Encik Hafidz turut berkongsi mengenai khasiat buah tin yang memberi manfaat kepada kesihatan wanita dan lelaki. Bagi wanita, buah tin dikenal pasti membantu melancarkan haid dan kesuburan, meningkatkan pengeluaran susu ibu serta mencegah sembelit selepas bersalin. Manakala bagi lelaki, pengambilan buah tin berupaya meningkatkan tenaga dan stamina, menyeimbangkan hormon lelaki serta menyokong kesihatan prostat.



Encik Hafidz turut menyatakan aspirasi beliau untuk mengusahakan ladang buah tin terbesar di Malaysia dengan sasaran pengeluaran sehingga satu tan sehari pada masa hadapan. Mengakhiri sesi temu bual, beliau menitipkan pesanan kepada generasi muda dan warga UPM agar sentiasa mencari pengalaman sejak usia muda, menghargai ilmu pengetahuan serta berusaha menjadi insan yang memberi manfaat kepada orang lain dan masyarakat.
Sesi temu bual ini diharap dapat menjadi sumber inspirasi kepada alumni dan pelajar Universiti Putra Malaysia, selain mengetengahkan potensi besar sektor pertanian bernilai tinggi sebagai satu bidang keusahawanan yang berdaya maju dan berimpak ekonomi.
Tarikh Input: 23/01/2026 | Kemaskini: 23/01/2026 | suziana.wil

Aras Bawah
Bangunan Pejabat Timbalan Naib Canselor
(Penyelidikan dan Inovasi)
Universiti Putra Malaysia
Off Lebuh Silikon
43400 UPM Serdang, Selangor