OLEH : Anis Hannani Mohd Fuad Mahadi
SUNTINGAN : Ahmad Amirul Alias
Tanjung Karang, 6 Ogos 2025 – Pusat Perhubungan Alumni UPM berbesar hati menerima kehadiran tiga alumni hebat dalam sesi Temu Mesra Alumni UPM yang berlangsung di Tanjung Karang pada 6 Ogos 2025.
Turut bersama ialah Tuan Mohd Kamaruzihan Mesron, Alumni UPM (Diploma Pertanian – Kelas 1990 & Bacelor Sains Pertanian – Kelas 1994), yang sudi meluangkan masa untuk berkongsi kisah perjalanan kerjaya beliau. Sesi bersama beliau bukan sahaja dipenuhi pengalaman berharga, malah turut disertai dengan nasihat dan tip berguna yang memberi inspirasi besar kepada para pelajar UPM.
Hadir sama ialah Tuan Haji Mat Amin Jaafar, Pengarah Urusan Amco Niaga Sdn. Bhd. (Alumni UPM 1994 & 2022). Perjalanan dan pencapaian beliau menjadi sumber motivasi kepada generasi pelapis, dengan perkongsian penuh makna mengenai cabaran, kejayaan serta nilai kegigihan yang selari dengan semangat Berilmu Berbakti.
Sesi temu mesra ini turut dimeriahkan dengan kehadiran Prof. Dr. Sidek Ab Aziz dari Fakulti Pengajian Pendidikan, Alumni UPM Kelas 2007. Beliau berkongsi pengalaman mendalam, nasihat serta panduan yang membuka wawasan para pelajar terhadap cabaran masa depan. Setiap butir perkongsian beliau menyuntik semangat, memberi dorongan, serta menjadi contoh terbaik bagaimana alumni UPM terus berbakti kepada masyarakat dan alma mater.
Pengalaman, kisah kejayaan, dan nilai yang dibawa oleh alumni-alumni ini bukan sahaja memperkaya sesi temu mesra, tetapi juga memberi impak besar kepada para pelajar yang hadir. Sesungguhnya, pertemuan ini menjadi platform penting dalam menyemarakkan semangat Berilmu Berbakti yang kekal subur dalam jiwa setiap alumni UPM.
Tarikh Input: 22/08/2025 | Kemaskini: 15/12/2025 | anishannani

Aras Bawah
Bangunan Pejabat Timbalan Naib Canselor
(Penyelidikan dan Inovasi)
Universiti Putra Malaysia
Off Lebuh Silikon
43400 UPM Serdang, Selangor