Oleh: Suziana Che Wil
SERDANG, 15 Mei - Pusat Perhubungan Alumni UPM (ARCUPM) selaku entiti perhubungan antara alumni dan Universiti sentiasa memandang ke hadapan dalam usaha menjejaki alumni-alumni UPM di luar sana.
Selaku badan yang diberikan amanah dan tanggungjawab dalam usaha menarik lebih ramai alumni kembali ke alma mater, pelbagai usaha dilakukan untuk memastikan agenda kecemerlangan Universiti dan pelajarnya terlaksana.
Baru-baru ini, Timbalan Pengarah ARCUPM telah mengambil langkah proaktif dengan melakukan satu kunjung hormat ke Agro-Biotechnology Institute, National Institute of Biotechnology Malaysia (ABI NIBM), Serdang, Selangor.
Kunjung hormat ini telah disambut oleh Pengarah ABI NIBM, iaitu YBrs. Dr Seetha Jaganathan King (Alumni kelas 2012, MSc. Molecular Biology dan Alumni kelas 2016, PhD Molecular Biology).
Dalam temu mesra ini juga, Dr Mokrish turut membawa para pelajar siswazah UPM yang sedang mengikut kursus VPM5301-Biology Molekul Gunaan Haiwan untuk melihat sendiri apakah yang ditawarkan di ABI NIBM dalam sudut bidang kerjaya yang sebenar.
Dr. Seetha juga turut mengalu-alukan kedatangan pelajar-pelajar UPM samada pra-siswazah dan siswazah untuk penempatan latihan industri mahupun menjalankan kerjasama penyelidikan.
Beliau juga turut menyatakan bahawa ABI sedang mempertingkatkan fasiliti makmal ke taraf BSL-3 di mana kajian-kajian yang berkaitan penyakit Zoonotik boleh dijalankan di situ. Beliau mengalu-alukan kerjasama dari penyelidik-penyelidik UPM mahupun swasta untuk menjalankan penyelidikan bersama ABI.
ARCUPM mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada seluruh alumni UPM yang bersama-sama menyatakan sokongan komitmen mereka ke arah membina watak graduan yang berdaya saing dan mampu bersaing pada pasaran pekerjaan setelah bergraduat kelak.
Tarikh Input: 02/07/2024 | Kemaskini: 02/07/2024 | shahirahalia
Aras Bawah
Bangunan Pejabat Timbalan Naib Canselor
(Penyelidikan dan Inovasi)
Universiti Putra Malaysia
Off Lebuh Silikon
43400 UPM Serdang, Selangor