OLEH : Anis Hannani Mohd Fuad Mahadi
SUNTINGAN : Ahmad Amirul Alias
Putrajaya, 5 Ogos 2025 – Pusat Perhubungan Alumni Universiti Putra Malaysia (UPM) telah mengadakan sesi temu mesra bersama YB Senator Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, Menteri Dalam Negeri Malaysia, yang juga merupakan Alumni UPM Kelas 1987 dengan Ijazah Sarjana Muda Sains Pertanian. Pertemuan penuh mesra ini berlangsung di pejabat Kementerian Dalam Negeri, Putrajaya.
Sesi tersebut turut disertai oleh Pengarah Pusat Perhubungan Alumni, YBrs. En. Fahmi Azar Mistar, serta Tuan Haji Mat Amin Jaafar, Exco Persatuan Alumni UPM, yang bersama-sama membincangkan pelbagai inisiatif strategik bagi mengukuhkan hubungan alumni dengan universiti.
Antara fokus utama perbincangan adalah cadangan mengenai pelan pengumpulan dana alumni serta pembangunan semula dan baik pulih Dewan Kuliah Pusat Akademik UPM. Projek ini dilihat sebagai usaha penting untuk meningkatkan fasiliti pembelajaran moden yang kondusif bagi mahasiswa, sekaligus menyokong matlamat universiti dalam melahirkan graduan berdaya saing di peringkat global.
YB Senator Datuk Seri Saifuddin Nasution, sebagai seorang alumni yang kini memegang tanggungjawab besar di peringkat nasional, menzahirkan komitmen beliau untuk terus menyokong usaha memartabatkan universiti tercinta. Beliau turut menekankan bahawa peranan alumni amat penting dalam memperkukuh jaringan sokongan, sama ada dari segi kepakaran, kewangan, mahupun peluang pembangunan pelajar.
Pusat Perhubungan Alumni UPM (ARCUPM) merakamkan penghargaan dan terima kasih atas kesudian YB Senator Datuk Seri meluangkan masa bersama alumni UPM. Semangat kebersamaan yang ditunjukkan ini mencerminkan keutuhan hubungan alumni dengan alma mater, serta menjadi inspirasi kepada seluruh komuniti alumni UPM untuk terus menyumbang dalam pelbagai bentuk.
Tarikh Input: 21/08/2025 | Kemaskini: 21/08/2025 | anishannani

Aras Bawah
Bangunan Pejabat Timbalan Naib Canselor
(Penyelidikan dan Inovasi)
Universiti Putra Malaysia
Off Lebuh Silikon
43400 UPM Serdang, Selangor