Putrajaya, 1 Julai 2025, YBhg. Datuk Aaron Ago Dagang, Menteri Perpaduan Negara, telah menerima kunjungan hormat daripada YBhg. Prof. Dr. Arifin Abdu, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni Universiti Putra Malaysia (UPM), bersama YBrs. Encik Fahmi Azar Mistar, Pengarah Pusat Perhubungan Alumni UPM (ARCUPM). YB Menteri yang merupakan alumni Ijazah Sarjana Muda Perhutanan Universiti Pertanian Malaysia pada tahun 1983, menyambut kunjungan ini dengan penuh rasa terharu kerana ia mengembalikan memori indah sewaktu beliau bergelar mahasiswa di kampus yang kini telah berkembang sebagai institusi terkemuka iaitu Universiti Putra Malaysia.
Pertemuan yang berlangsung dalam suasana mesra ini turut membuka ruang perbincangan mengenai potensi kerjasama strategik antara UPM dan Kementerian Perpaduan Negara, khususnya dalam menyokong inisiatif memperkasakan pembangunan sahsiah serta kemahiran insaniah dalam kalangan mahasiswa. UPM melalui Pusat Perhubungan Alumni yakin bahawa kerjasama seumpama ini dapat memperkukuh ekosistem pendidikan tinggi negara dan menyumbang kepada lahirnya graduan yang bukan sahaja cemerlang dari segi akademik, malah memiliki nilai kepimpinan, ketahanan diri dan mampu menjadi agen penyatuan dalam masyarakat. YB Menteri turut menyuarakan rasa bangga melihat UPM terus unggul sebagai universiti yang konsisten melahirkan pemimpin berkaliber dan berwibawa untuk masa depan negara.

Tarikh Input: 10/07/2025 | Kemaskini: 13/12/2025 | ahmadamirul

Aras Bawah
Bangunan Pejabat Timbalan Naib Canselor
(Penyelidikan dan Inovasi)
Universiti Putra Malaysia
Off Lebuh Silikon
43400 UPM Serdang, Selangor