TEMU MESRA ALUMNI BERSAMA JABATAN PERTANIAN | Pusat Perhubungan Alumni
» BERITA » TEMU MESRA ALUMNI BERSAMA JABATAN PERTANIAN

TEMU MESRA ALUMNI BERSAMA JABATAN PERTANIAN

Putrajaya 25 April 2025 - Temu mesra yang penuh makna telah berlangsung di Jabatan Pertanian, melibatkan alumni Universiti Putra Malaysia (UPM) yang kini berkhidmat dalam sektor perkhidmatan awam. Sesi ini bukan sahaja menjadi ruang untuk menjejak kejayaan alumni, tetapi turut membuka lembaran baharu ke arah jalinan kerjasama strategik bersama agensi.

Sesi tersebut turut diserikan dengan kehadiran Timbalan Ketua Pengarah Pertanian (Pembangunan Industri dan Perkembangan), Encik Johari Abdullah (Alumni UPM Kelas 2011) serta Penolong Pengarah Unit Komunikasi Korporat, Encik Ahmad Fikri Mohd Samsudin (Alumni UPM Kelas 2010). Delegasi alumni pula diketuai oleh Timbalan Pengarah Pusat Perhubungan Alumni UPM, Prof. Madya Dr. Mohd Mokrish Md Ajat. Kehadiran ARCUPM telah disambut mesra oleh Ketua Pengarah Pertanian, YBhg. Dato’ Nor Sam Alwi. Menurut Prof. Madya Dr. Mohd Mokrish, sesi ini merupakan platform penting untuk memperkukuh jaringan profesional antara universiti dan alumni di lapangan, di samping meneroka peluang kerjasama dalam bidang penyelidikan, latihan, dan pembangunan sumber manusia.

“Alumni bukan sekadar warisan universiti, mereka adalah jambatan yang menghubungkan dunia akademik dan realiti industri. Jalinan seperti ini mampu memberi impak besar kepada kemajuan sektor pertanian negara,” ujar beliau. Sesi temu mesra ini membuktikan bahawa hubungan alumni dan institusi bukan sekadar kenangan lama, tetapi merupakan kekuatan yang mampu menggerakkan perubahan ke arah pembangunan negara yang lebih lestari dan inklusif.

Tarikh Input: 28/05/2025 | Kemaskini: 28/05/2025 | ahmadamirul

PERKONGSIAN MEDIA

Pusat Perhubungan Alumni
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+6039769 1017
0386566933
S, (11:30:30pm-11:35:30pm, 05 Apr 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]