Temu Bual Majalah Alumni Serdang Sun 26 Tahun 2025 Bersama Cikgu Hashimi Ismail | Pusat Perhubungan Alumni alumni
» BERITA » Temu Bual Majalah Alumni Serdang Sun 26 Tahun 2025 Bersama Cikgu Hashimi Ismail

Temu Bual Majalah Alumni Serdang Sun 26 Tahun 2025 Bersama Cikgu Hashimi Ismail

Disunting oleh:  Nur Fazrini Alia Abd Majid

Oleh:Suziana Che Wil

Serdang, 10 Oktober – Pusat Perhubungan Alumni Universiti Putra Malaysia (UPM) telah berjaya mengadakan sesi temu bual eksklusif bersama Cikgu Hashimi Ismail, seorang aktivis alam sekitar dan alumni UPM Kelas 1993 dan 1997, yang kini berkhidmat sebagai Guru Besar Sekolah Kebangsaan Teris, Hulu Terengganu, Terengganu. Temu bual ini merupakan sebahagian daripada usaha pengumpulan bahan bagi penerbitan Majalah Alumni Serdang Sun Isu ke-26 Tahun 2025.

Dalam perkongsian tersebut, Cikgu Hashimi bercerita tentang perjalanan beliau sebagai pendidik dan aktivis yang gigih memperjuangkan pemeliharaan alam sekitar, khususnya dalam konservasi penyu dan program kebersihan pantai. Beliau aktif menyertai Geng Plastik Hijau sejak tahun 2017, yang menjalankan kerja pembersihan pantai di sekitar Terengganu.

Selain itu, beliau pernah terlibat dalam program konservasi penyu sejak 2001 di Pulau Redang dan Kemaman, serta memainkan peranan penting sebagai Pengerusi Persatuan Khazanah Rakyat Ma’Daerah (MEKAR) iaitu sebuah NGO berpusat di Kertih yang memfokuskan kepada kesedaran dan pemuliharaan penyu, dengan penyertaan masyarakat pelbagai latar belakang termasuk nelayan, pelajar, penjawat awam dan usahawan tempatan.

Cikgu Hashimi juga pernah menjadi ahli Sahabat Raja Rimba di Merapoh, Pahang, yang aktif dalam usaha pemuliharaan hutan dan hidupan liar.Dalam temu bual tersebut, beliau menekankan kepentingan pendidikan sebagai medium utama membentuk kesedaran alam sekitar, khususnya dalam kalangan generasi muda. Beliau berpendapat istilah seperti “tidak mesra alam” perlu digantikan dengan “mesra alam” bagi menyemai nilai positif dan rasa tanggungjawab terhadap penjagaan bumi.

Pusat Perhubungan Alumni UPM menzahirkan penghargaan kepada Cikgu Hashimi atas kesudian beliau berkongsi kisah dan inspirasi yang bernilai tinggi. Sumbangan beliau sebagai aktivis dan alumni UPM menjadi bukti semangat ‘Berilmu Berbakti’ yang terus subur dalam kalangan warga Putra.

Tarikh Input: 27/10/2025 | Kemaskini: 27/10/2025 | ainnanabilah

PERKONGSIAN MEDIA

Pusat Perhubungan Alumni
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+6039769 1017
0386566933
X, (01:14:01pm-01:19:01pm, 05 Oct 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]