Oleh: Nur Fazrini Alia Abd Majid
Disunting oleh: Suziana Che Wil
Kuala Lumpur, 19 Januari 2026 – Pusat Perhubungan Alumni Universiti Putra Malaysia (ARCUPM) telah mengadakan sesi temu bual khas bersama YBhg. Dato’ Mohd Radhi Chu Abdullah, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi dan Teknikal), bertempat di Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia. Temu bual ini dijalankan sebagai persediaan untuk penerbitan artikel dalam Majalah Alumni Serdang Sun. Aktiviti ini menekankan perjalanan hidup, pengalaman profesional, serta pandangan beliau terhadap generasi pelajar Universiti Putra Malaysia.
YBhg. Dato’ Mohd Radhi, yang dilahirkan pada tahun 1968 di Machang, Kelantan. Beliau merupakan alumni UPM tahun 1992 dari Fakulti Perhutanan dan pernah menetap di Kolej Kediaman Ke-5. Beliau memulakan kerjayanya dengan pengalaman bekerja di Hiroshima, Jepun, sebelum menyertai Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia pada tahun 1996. Sepanjang tempoh perkhidmatan beliau, pengalaman luas yang diperoleh telah membentuk kepimpinan, ketahanan, serta kebijaksanaan profesional yang menjadi tonggak kejayaannya hari ini.


Dalam temu bual tersebut, beliau turut berkongsi nasihat berharga kepada pelajar dan generasi muda UPM. Beliau menekankan kepentingan menguasai teknologi semasa, termasuk kecerdasan buatan, bersabar dan cekal menghadapi cabaran, memperkayakan ilmu dan maklumat untuk membentuk pemikiran kreatif, berani bersaing, sentiasa meningkatkan kemahiran diri, serta mengkaji semula kandungan subjek pembelajaran agar selari dengan perkembangan semasa. Nasihat-nasihat ini diharap dapat membimbing pelajar dalam membina daya saing dan pemikiran strategik yang relevan dengan cabaran masa kini.
Sesi temu bual ini turut disertai oleh Profesor Madya Dr. Mohd Mursyid Arshad, Pengarah Pusat Kokurikulum dan Pembangunan Pelajar, serta Dr. Mohammad Mu’az Mahmud, Timbalan Pengarah Pusat Perhubungan Alumni UPM. Kehadiran mereka menunjukkan sokongan berterusan ARCUPM dan universiti dalam usaha mendekatkan alumni dengan pelajar, serta memperkukuh hubungan komuniti akademik. Perkongsian pengalaman dan pandangan YBhg. Dato’ Mohd Radhi dijangka menjadi sumber inspirasi serta panduan kepada warga UPM dan generasi masa hadapan.

Tarikh Input: 22/01/2026 | Kemaskini: 22/01/2026 | suziana.wil

Aras Bawah
Bangunan Pejabat Timbalan Naib Canselor
(Penyelidikan dan Inovasi)
Universiti Putra Malaysia
Off Lebuh Silikon
43400 UPM Serdang, Selangor