Oleh: Husna Shafiyah binti Hishamuddin
Disunting oleh: Suziana binti Che Wil
SERDANG, 30 Jun – Majlis penyampaian hadiah PUTRA Alumni VPRO Challenge 2026 telah berlangsung dengan jayanya sempena Majlis Penutupan Bulan Sinergi Putra 2026 yang diadakan di Stadium Universiti Putra Malaysia (UPM). Program ini turut diserikan dengan penganjuran PUTRASihat 10,000 Langkah UPM yang menghimpunkan warga universiti bersama Naib Canselor UPM, Yang Berbahagia Dato' Profesor Ir. Dr. Ahmad Farhan Mohd. Sadullah, FASc, dalam usaha membudayakan gaya hidup sihat dan memperkukuh semangat kebersamaan dalam kalangan komuniti UPM.
Majlis penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh Yang Berbahagia Dato' Profesor Ir. Dr. Ahmad Farhan Mohd. Sadullah, FASc, bersama Encik Fahmi Azar Mistar, Pengarah Pusat Perhubungan Alumni UPM, dan Encik Noor Mohamad Shakil Hameed, Timbalan Pengarah (Komunikasi Korporat), Pusat Strategi dan Perhubungan Korporat (PSPK) UPM.

PUTRA Alumni VPRO Challenge 2026 merupakan pertandingan penerbitan video kreatif anjuran Pusat Perhubungan Alumni UPM dengan kerjasama Pusat Strategi dan Perhubungan Korporat (PSPK) UPM. Bertemakan Keterjaminan Makanan, pertandingan ini berjaya menarik penyertaan daripada pelajar, alumni, staf UPM serta masyarakat umum yang menghasilkan karya kreatif bagi meningkatkan kesedaran tentang kepentingan keterjaminan makanan dalam menjamin kesejahteraan negara.
Penganjuran pertandingan ini bukan sahaja memeriahkan sambutan Bulan Sinergi Putra 2026, malah turut diadakan bersempena Sambutan Hari Alumni UPM yang disambut pada 21 Mei 2026, sekali gus mencerminkan komitmen universiti dalam menggalakkan penglibatan aktif alumni bersama warga kampus melalui platform kreatif dan berimpak tinggi.
Bagi Kategori Pelajar, Nurul Qamaria Shamshuddin dari Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi telah dinobatkan sebagai Johan dan membawa pulang wang tunai RM3,000. Tempat Naib Johan dimenangi oleh Nor Arisya Sofea Mohd. Ariff dari Jabatan Matematik, Fakulti Sains yang menerima hadiah RM2,000, manakala Shah Mikhail Iqbal Zamri dan Mohammad Ilman Wafey Mat Din dari Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi meraih Tempat Ketiga dengan hadiah RM1,000. Anugerah Pilihan Juri pula diberikan kepada Fazirah Samah dari Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan yang menerima hadiah wang tunai RM500.

Sementara itu, bagi Kategori Awam, Alumni dan Staf UPM, Mohamad As Syafie, Alumni UPM tahun 2022, muncul sebagai Johan dan menerima hadiah RM3,000. Tempat Naib Johan dimenangi oleh Nur Sahira Faghira Tahrir Adli, Alumni UPM tahun 2016 dan 2022, yang membawa pulang RM2,000. Muhammad 'Amal Mohamad Kasim memenangi Tempat Ketiga dengan hadiah RM1,000, manakala Ahmad Amirul Alias menerima Anugerah Pilihan Juri berserta hadiah RM500.
Pihak penganjur merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada semua pemenang atas kreativiti, dedikasi dan komitmen yang ditunjukkan dalam menghasilkan karya video berkualiti tinggi yang bukan sahaja memenuhi kriteria pertandingan, malah berjaya menyampaikan mesej penting mengenai keterjaminan makanan kepada masyarakat.

Penghargaan turut dizahirkan kepada semua peserta yang telah mengambil bahagian serta menyumbang kepada kejayaan penganjuran PUTRA Alumni VPRO Challenge 2026. Sambutan yang memberangsangkan terhadap pertandingan ini membuktikan bahawa platform kreatif mampu menjadi medium yang berkesan dalam memperkukuh hubungan antara alumni, warga universiti dan masyarakat, di samping menggalakkan penyebaran ilmu, perkongsian idea serta penghasilan kandungan yang memberi impak positif kepada pembangunan negara.
Diharapkan pertandingan ini akan terus menjadi salah satu inisiatif utama Universiti Putra Malaysia dalam menyemarakkan budaya kreativiti, inovasi dan komunikasi berkesan, sekali gus memperkukuh peranan alumni dan warga UPM sebagai agen perubahan yang menyumbang kepada pembangunan masyarakat melalui penghasilan karya kreatif yang berkualiti dan bermakna.
Tarikh Input: 22/07/2026 | Kemaskini: 22/07/2026 | suziana.wil

Aras Bawah
Bangunan Pejabat Timbalan Naib Canselor
(Penyelidikan dan Inovasi)
Universiti Putra Malaysia
Off Lebuh Silikon
43400 UPM Serdang, Selangor