Oleh: Nur Fazrini Alia Binti Abd Majid
Disunting oleh: Suziana Che Wil
Serdang, 5 Disember - Majlis Konvokesyen Universiti Putra Malaysia (UPM) Kali Ke-49 yang berlangsung dari 29 November hingga 5 Disember 2025 telah melabuhkan tirainya dengan jayanya, membawa makna yang cukup besar kepada Pusat Perhubungan Alumni UPM (ARCUPM). Penglibatan ARCUPM pada edisi kali ini lebih meluas dan signifikan berbanding tahun-tahun sebelumnya, merangkumi pelbagai lokasi dan inisiatif utama sepanjang konvokesyen berlangsung.

Antara fokus utama penglibatan ARCUPM ialah pelaksanaan Kerusi Legasi Alumni, iaitu inisiatif baharu yang diperkenalkan bagi meraikan alumni UPM yang hadir menyaksikan kejayaan anak-anak mereka bergelar graduan. Buat pertama kalinya, para ibu bapa yang juga alumni UPM diberikan keistimewaan duduk di Kerusi Legasi Alumni UPM di dalam Dewan Besar. Sambutan amat menggalakkan, dan ARCUPM berbesar hati dapat menyantuni ramai alumni yang sudah lama tidak kembali ke kampus. Tahniah kepada semua alumni UPM.
Selain itu, ARCUPM turut membuka reruai khas bersebelahan Dewan Besar bagi memudahkan para alumni mendapatkan maklumat mengenai program dan perkhidmatan ARCUPM serta mengemas kini data peribadi. Dalam semangat memperkukuh jaringan alumni, ARCUPM juga menyediakan ruang khas kepada alumni yang berminat membuka reruai di tapak PESKON 2025, yang berlangsung buat julung kalinya di Dataran Menara Putra Warisan Budi. Inisiatif ini membuka peluang kepada alumni UPM untuk membina jaringan bersama pelajar dan pihak universiti.

ARCUPM turut merakamkan penghargaan kepada pasukan kerja dan pasukan media ARCUPM yang bertungkus lumus merakam dan memuat naik setiap detik konvokesyen ke platform media sosial. Komitmen mereka memastikan perjalanan dokumentasi majlis berjalan lancar dan mencapai para warga UPM serta alumni di seluruh negara.
ARCUPM juga menzahirkan ucapan terima kasih kepada seluruh warga UPM yang banyak membantu melancarkan pengoperasian sepanjang minggu konvokesyen. Penghargaan khusus ditujukan kepada Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni), Prof. Dr. Arifin Abdu; Bahagian Hal Ehwal Pelajar; Persatuan Alumni UPM; Bahagian CEP UPM; para pelajar dari Chapter Student Ambassador (CSA); serta staf alumni yang kini berkhidmat di pusat tanggungjawab lain namun tetap turun membantu. Ucapan terima kasih istimewa turut diberikan kepada Puan Noorizai Mohamad Noor, Ketua Pentadbiran Pejabat Naib Canselor, atas bantuan dalam menguruskan pegawai pengiring bagi Kerusi Legasi Alumni.

Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih diucapkan oleh Pusat Perhubungan Alumni UPM atas segala sokongan, tenaga dan kerjasama yang diberikan sepanjang keterlibatan besar ARCUPM bagi Konvokesyen UPM Kali Ke-49. Insya-Allah, ARCUPM berharap ada ruang dan peluang untuk terus bekerjasama pada masa akan datang demi memartabatkan legasi alumni UPM.
Tarikh Input: 19/12/2025 | Kemaskini: 19/12/2025 | ainnanabilah

Aras Bawah
Bangunan Pejabat Timbalan Naib Canselor
(Penyelidikan dan Inovasi)
Universiti Putra Malaysia
Off Lebuh Silikon
43400 UPM Serdang, Selangor