Oleh: Nur Fazrini Alia Binti Abd Majid
Disunting oleh: Suziana Che Wil
Serdang, 27 November – Pusat Perhubungan Alumni Universiti Putra Malaysia (ARCUPM) berbesar hati menyantuni beberapa alumni UPM yang kembali ke kampus hijau bersempena Perjumpaan Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan dan Pembangunan), Kementerian Pendidikan Tinggi bersama Jawatankuasa Pendaftar Universiti Awam. Sesi temu mesra ini diadakan bagi memperkukuh semula hubungan strategik antara universiti dan para alumni yang kini memegang posisi penting dalam sektor pendidikan tinggi negara.

Dalam pertemuan tersebut, ARCUPM menzahirkan komitmen berterusan untuk memperluas jaringan alumni di seluruh negara, sejajar dengan usaha membina ekosistem sokongan yang kukuh bagi penyampaian agenda kecemerlangan universiti. UPM juga menghargai sumbangan signifikan alumni yang terus menjulang reputasi universiti di peringkat nasional dan antarabangsa menerusi kepimpinan, kepakaran dan khidmat bakti mereka dalam pelbagai bidang profesional.
Antara alumni yang hadir termasuk Datuk TS. Dr. Mohd Nor Azman Hassan yang kini memegang jawatan sebagai Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan dan Pembangunan) di Kementerian Pendidikan Tinggi, selain Encik Naim Maslan selaku Pendaftar Universiti Tun Hussein Onn Malaysia, Tuan Haji Azlan Ramli yang berkhidmat sebagai Pendaftar Universiti Malaysia Sarawak serta Puan Arniza Mahamad Fazim yang turut menyertai sesi ini sebagai alumni UPM yang kembali ke kampus.

Kesudian para alumni meluangkan masa untuk disantuni amat dihargai dan menjadi pemangkin kepada ARCUPM untuk terus menjejaki, mendekati serta menghimpunkan warga alumni UPM dalam pelbagai bentuk penglibatan yang memberi manfaat kepada universiti dan masyarakat. Secara keseluruhannya, sesi temu mesra ini membuktikan bahawa alumni kekal sebagai rakan strategik terpenting dalam meneruskan legasi “Alumni UPM Berilmu Berbakti”.
Tarikh Input: 18/12/2025 | Kemaskini: 15/01/2026 | ainnanabilah

Aras Bawah
Bangunan Pejabat Timbalan Naib Canselor
(Penyelidikan dan Inovasi)
Universiti Putra Malaysia
Off Lebuh Silikon
43400 UPM Serdang, Selangor