SEMINAR HAL EHWAL PELAJAR 2026 (SEHEPA 2026) | Pusat Perhubungan Alumni
» BERITA » SEMINAR HAL EHWAL PELAJAR 2026 (SEHEPA 2026)

SEMINAR HAL EHWAL PELAJAR 2026 (SEHEPA 2026)

Oleh: Husna Shafiyah binti Hishamuddin

Disunting oleh: Suziana Che Wil

Serdang, 12 Mac 2026 – SEHEPA 2026 (Seminar Hal Ehwal Pelajar dan Alumni 2026) telah berjaya dilaksanakan di Auditorium Fakulti Pengajian Pendidikan, Universiti Putra Malaysia (UPM). Seminar ini bertujuan menilai keberkesanan dan impak program pembangunan pelajar di samping memperkukuh ekosistem pemerkasaan pelajar dan alumni.

Program ini telah dirasmikan oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dr. Arifin Abdu, yang menggalakkan sesi perbincangan terbuka, perkongsian idea serta pembentangan yang memfokuskan kepada penilaian impak pelbagai inisiatif pembangunan pelajar yang dilaksanakan di peringkat universiti.

Selain itu, Prof. Dr. Arifin Abdu turut menegaskan bahawa penganjuran SEHEPA adalah selaras dengan Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026–2035, khususnya dalam memperkasa pembangunan bakat dan melahirkan graduan holistik. Beliau turut menekankan kepentingan membentuk pelajar melalui nilai kemanusiaan, pemikiran keusahawanan serta kebolehsuaian bagi menghadapi dunia yang semakin mencabar dan kompetitif.

Selain menjadi platform perkongsian idea, seminar ini juga berperanan sebagai mekanisme penilaian berstruktur terhadap keberhasilan program pembangunan pelajar yang dilaksanakan oleh entiti Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) di setiap Pusat Tanggungjawab (PTJ). Penilaian ini penting bagi memastikan setiap program yang dijalankan kekal relevan, berimpak tinggi serta sejajar dengan aspirasi dan matlamat strategik universiti.

SEHEPA 2026 turut membuka ruang kepada pengukuhan jaringan kerjasama antara pihak berkepentingan dalam pembangunan pelajar, sekali gus meningkatkan keberkesanan pelaksanaan program di peringkat universiti.

Secara keseluruhannya, seminar ini dilihat sebagai langkah signifikan dalam memperkukuh tadbir urus dan perancangan strategik pembangunan pelajar, selaras dengan komitmen UPM untuk melahirkan graduan yang berkualiti, berdaya saing dan holistik di peringkat nasional dan global.

Tarikh Input: 31/03/2026 | Kemaskini: 31/03/2026 | suziana.wil

PERKONGSIAN MEDIA

Pusat Perhubungan Alumni
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+6039769 1017
0386566933
F, (04:55:13pm-05:00:13pm, 06 May 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]