Sekalung Penghargaan Kepada Alumni UPM: Bantuan Komputer Riba Putra Cakna Alumni Care Heart To Heart (H2H) Kepada Pelajar UPM Yang Memerlukan. | Pusat Perhubungan Alumni
» BERITA » Sekalung Penghargaan Kepada Alumni UPM: Bantuan Komputer Riba Putra Cakna Alumni Care Heart to Heart (H2H) Kepada Pelajar UPM Yang Memerlukan.

Sekalung Penghargaan Kepada Alumni UPM: Bantuan Komputer Riba Putra Cakna Alumni Care Heart to Heart (H2H) Kepada Pelajar UPM Yang Memerlukan.

Oleh: Nur Sara Hazeqqa Johari

Suntingan : Suziana Che Wil 

 

SERDANG, 7 Feb -  Prihatin akan kebajikan pelajar, alumni Universiti Putra Malaysia (UPM) telah berinisiatif untuk menyumbangkan komputer riba kepada pelajar-pelajar yang berkeperluan melalui projek PUTRA CAKNA Alumni Care: Heart to Heart (H2H). Sesi penyerahan lebihan kutipan sumbangan yang diadakan pada 7 Februari lalu merupakan simbolik penutupan kempen ini. 

Bermula dari Ogos 2021, agihan sumbangan peranti komputer riba ini telah dilaksanakan secara berperingkat mengikut kutipan sumbangan alumni dari masa ke semasa melalui kempen ini serta pelaksanaan program alumni UPM seperti program Menggamit Seribu Kenangan Alumni Reunion (MEKAR), Alumni Serdang Angels dan Yayasan Kebajikan Suria. Fokus utama kempen ini adalah untuk membantu pelajar UPM dalam kalangan B40 yang memerlukan komputer riba dan pelan data sewaktu sesi pengajaran dan pembelajaran (PdP) dengan menyasarkan barisan chapter alumni yang ingin menaja komputer riba dan pelan data serta melaksanakan kutipan sumbangan melalui paygate UPM, program PUTRA CAKNA Alumni Care: Heart to Heart (H2H). 

Antara objektif kempen ini dijalankan adalah untuk melestarikan bidang pendidikan sebagai hub untuk individu menyumbang semula kepada alma mater. Selain itu, kempen H2H ini juga berharap untuk membantu dan memudahkan para pelajar untuk fokus dalam pembelajaran di samping meningkatkan kesedaran awam terutamanya warga UPM untuk berilmu dan berbakti kepada UPM, seiring dengan moto UPM, “Berilmu, Berbakti”.

Sesi penyerahan sumbangan komputer riba yang berjumlah RM25,578.00 ini telah melibatkan 10 orang penerima yang terdiri daripada golongan yatim, fakir, Fisabilillah, B40 dan pelajar yang mempunyai kes kecurian komputer riba. Permohonan akhir telah dibuka kepada para pelajar dari 1 hingga 15 November 2023 yang lalu dan mendapat respon dari 567 orang pemohon sebelum melalui proses saringan untuk memilih pelajar yang betul-betul layak menerima bantuan ini.

Majlis ringkas ini menyaksikan taklimat penerima bantuan serta sesi penyerahan dan menandatangani persetujuan penerimaan surat tawaran dan terma dan syarat bantuan kepada para penerima. Turut  hadir untuk menyampaikan amanat dan harapan kepada penerima bantuan adalah Encik Fahmi Azar Mistar, Timbalan Pengarah Pusat Perhubungan Alumni UPM (ARCUPM). Sebagai penutup projek, sesi ini menjadikan jumlah penerima sumbangan komputer riba kempen H2H secara keseluruhannya adalah seramai 41 orang.

Keprihatinan yang ditunjukkan serta sumbangan yang diberikan oleh alumni UPM merupakan sesuatu yang perlu dicontohi oleh para pelajar, khususnya pelajar UPM agar sentiasa menghargai dan mengingati jasa universiti walaupun setelah bergelar alumni sesuai dengan slogan para alumni “Daripada Alumni Kepada UPM”.

Tarikh Input: 13/02/2024 | Kemaskini: 29/03/2024 | hazeqqa

PERKONGSIAN MEDIA

Pusat Perhubungan Alumni
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+6039769 1017
0386566933
BXEbXAH~