Oleh: Nur Fazrini Alia Binti Abd Majid
Disunting oleh: Suziana Che Wil
Serdang, 9 Oktober – Program Sejam Bersama Alumni UPM sempena Minggu Perkasa Putra (MPP) 2025 telah berjaya menarik penyertaan lebih 3,600 pelajar baharu di Dewan Besar Universiti Putra Malaysia (UPM). Program ini bertujuan menyuntik inspirasi dan semangat kepada pelajar baharu melalui perkongsian pengalaman daripada tokoh-tokoh alumni yang berjaya dalam bidang masing-masing.
Sesi perkongsian ini dikendalikan oleh YBrs. Tuan Haji Mat Amin Jaafar, Pengarah Urusan Amco Niaga Sdn. Bhd. merangkap Setiausaha Agung Persatuan Alumni UPM (Alumni Kelas 1994 & 2022) yang bertindak sebagai moderator majlis.

Antara panel jemputan yang hadir ialah YBhg. Dato’ Zainani Jusoh (Akauntan Negara Malaysia, Alumni UPM Kelas 1991), YBhg. Prof. Dr. Muhammad Firdaus (Atase Pendidikan dan Kebudayaan, Kedutaan Besar Republik Indonesia, Alumni UPM Kelas 2006), YBrs. Dr. Salwa Abu Bakar (Pengurus Besar Kanan Syarikat Faiza Sdn. Bhd., Alumni Kelas 1983 & 1988), dan YBrs. Encik Hafiz Abdul Rashid (Pengarah Urusan RJH Consultant & Services Sdn. Bhd., Alumni Kelas 2000).
Turut hadir memberikan sokongan dan galakan kepada para pelajar ialah Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), YBhg. Prof. Dr. Arifin Abdu, serta Pengarah Pusat Perhubungan Alumni UPM (ARCUPM), Encik Fahmi Azar Mistar.

Dalam sesi tersebut, para alumni menekankan kepentingan mengekalkan hubungan dengan alma mater walaupun telah berjaya dalam kerjaya. Mereka menyeru pelajar agar sentiasa menghargai UPM sebagai tempat bermulanya ilmu dan pengalaman berharga, serta menyeru agar setiap alumni terus menyumbang dalam apa jua bentuk — sama ada melalui kepakaran, masa, mahupun tenaga.
Program ini bukan sekadar platform untuk berkongsi kejayaan, malah menjadi bukti nyata bahawa jaringan alumni UPM terus utuh dan berperanan penting dalam membentuk generasi baharu yang berdaya saing dan berjiwa kepimpinan.

Kesimpulannya, Sejam Bersama Alumni UPM berjaya mencapai objektifnya dalam memperkukuh hubungan antara alumni dan pelajar baharu, di samping menanam semangat kebanggaan dan kecintaan terhadap Universiti Putra Malaysia sebagai alma mater tercinta.
Tarikh Input: 27/10/2025 | Kemaskini: 13/01/2026 | ainnanabilah

Aras Bawah
Bangunan Pejabat Timbalan Naib Canselor
(Penyelidikan dan Inovasi)
Universiti Putra Malaysia
Off Lebuh Silikon
43400 UPM Serdang, Selangor