Sejam Bersama Alumni (SEBA) Siri 26 | Pusat Perhubungan Alumni
» BERITA » Sejam Bersama Alumni (SEBA) Siri 26

Sejam Bersama Alumni (SEBA) Siri 26

Oleh : Suziana Che Wil  

Suntingan oleh : Nik Hafzaini Nik Hassan

SERDANG – 13 Julai 2021, telah bersiaran Sejam Bersama Alumni edisi ke-26. Kali ini alumni kelas 2019, Muhamad Iqbal Bin Marzuki Amirudin dijemput sebagai panel untuk berkongsi pengalaman dan kerjaya sebagai ahli kimia dalam bidang pengkhususan minyak dan gas. Kini beliau bertugas sebagai ahli kimia di salah sebuah syarikat petroleum di Pengerang, Johor Bahru. Sebelum melanjutkan pelajaran dalam Bachelor Sains (Kepujian) Kimia Petroleum, Iqbal terlebih dahulu mengikuti Kelas Asasi Pertanian (ASPER) juga di Universiti Putra Malaysia (UPM). 

Ketika mengikuti kursus Asasi Sains Pertanian disitulah minatnya mula timbul untuk mendalami bidang Kimia Petroleum dengan lebih mendalam. Menyentuh mengenai bidang kimia, ia adalah satu bidang yang mencabar dan mampu memberi cabaran ke atas kredibiliti seseorang dalam bidang yang diceburinya itu.

Jika dilihat dari segi prospek kerjaya pula bidang ini amat luas dan persaingan untuk menempatkan diri ke dalam satu-satu syarikat petroleum amat tinggi. Pada sesi perkongsian itu, Iqbal memberikan beberapa tip penting jika mahu menempatkan diri sebagai ahli kimia apabila tamat pengajian nanti. 

“Sebolehnya sentiasa kekalkan momentun kecemerlangan pada setiap semester dengan kutipan mata 3.5 ke atas. Saya amat bersyukur diterima sebagai ahli kimia di mana tempat saya bekerja hari ini. Di sini saya perlu melakukan analisis ke atas setiap jenis minyak yang ditempah oleh pelanggan. Saya perlu kelaskan gred setiap minyak dan perlu sediakan hantar laporan kepada pelanggan,” ujarnya. 

Menerusi perkongsian itu juga Iqbal berharap mahasiswa UPM terus mendukung kecemerlangan tidak kira semasa bergelar mahasiswa ataupun setelah bergraduat. Para senior di luar sana yang telah berjaya dalam kerjaya masing-masing boleh dijadikan rujukan.

“Program seperti hari ini pada saya satu program yang baik dan dapat menjadi medan di antara alumni dan mahasiswa. Menerusi program sebegini, alumni dapat menyumbang dari sudut idea dan berkongsi tip bersama mahasiswa untuk membantu mereka meletakkan diri dalam bidang kerjaya setelah bergraduat,” akhirinya. 

SEBA merupakan satu program yang akan menjemput para alumni UPM untuk berkongsi kejayaan mereka diluar sana yang akan menyuntik semangat kepada para mahasiswa untuk terus mengejar kecemerlangan. 

Program ini telah menjemput ramai alumni yang berjaya dalam bidang masing-masing dan terbaharu Presiden Persatuan Alumni, Dato’ Raihan Sharif yang merupakan alumni Kelas 1978 dan 1982. Ikuti siri SEBA yang seterusnya dengan panel jemputan yang hebat dalam lapangan masing-masing. Usaha jitu daripada Pusat Perhubungan Alumni UPM dalam membawakan program-program ilmiah begini diharapkan dapat membantu pada mahasiswa menentukan hala tuju mereka setelah graduat kelak. 

Tarikh Input: 23/08/2021 | Kemaskini: 30/09/2021 | alif.isnain

PERKONGSIAN MEDIA

Pusat Perhubungan Alumni
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+6039769 1017
0386566933
BXDdNAu~