Sejam Bersama Alumni (SEBA) Siri 23 - Skil Elemen Penting Untuk Berjaya | Pusat Perhubungan Alumni
» BERITA » Sejam Bersama Alumni (SEBA) Siri 23 - Skil Elemen Penting Untuk Berjaya

Sejam Bersama Alumni (SEBA) Siri 23 - Skil Elemen Penting Untuk Berjaya

Oleh: Suziana Che Wil 

Suntingan: Nik Hafzaini Nik Hassan

 

SERDANG – Sejam Bersama Alumni (SEBA) Siri 23, ke udara lagi di platform Webex dan jug Facebook Pusat Perhubungan Alumni. Kali ini SEBA menampilkan Alumni Kelas 2019, Cik Noorazeaty Maulad Mohd Khalif dari Fakulti Ekologi Manusia, untuk berkongsi kisah kejayaan dan pengalaman kepada pelajar UPM dan juga staf yang sama-sama berada dalam talian. 

Bersama moderator dari Pusat Perhubungan Alumni, Encik Abdul Waffy Ubaidillah program yang berlangsung selama sejam itu telah memberikan banyak tip, pengalaman dan juga cara-cara untuk mencipta kerjaya untuk diri sendiri. Ilmu itu amat berguna untuk para pelajar yang bakal menamatkan pengajian dan juga yang telah tamat pengajian yang masih mencari tapak. 

Terdahulu, SEBA telah menampilkan ramai alumni yang berkongsi kisah dan pengalaman mereka di ruang maya facebook Pusat Perhubungan Alumni dan webex. Program ini sedikit sebanyak memberi laluan kepada para alumni untuk sama-sama membantu bakal graduan merencana perjalanan mereka selepas tamat pengajian nanti. 

Kali ini, Norzeaty yang berkemahiran dalam bidang Perancang Kewangan berpeluang memberikan ilmu dan tip untuk manfaat bakal graduan nanti. Berkata dalam program itu, Norzeaty yang mesra dengan sapaan Zeaty, menasihatkan pada pelajar UPM untuk sentiasa gilap skil yang ada. Hari ini, ramai yang mempunyai sijil namun cetek dalam skil atau kemahiran. 

Jadi untuk berjaya, skil dilihat satu perkara yang penting. Melalui skil banyak peluang yang boleh diterokai. Mengambil contoh dirinya sendiri. Dia sedar dari kecil dia diasah oleh keluarga mengenai skil berniaga. Dari umurnya sembilan tahun dia sudah diajar skil untuk berniaga. Jadi perkara itu dia tidak tinggalkan. 

Sehingga menyambung pengajian di Universiti Putra Malaysia (UPM) dia bawa skil itu. Siang sibuk dengan kelas, manakala malam pula masa untuk aktiviti kolej dan berniaga. Tambahnya lagi, pelajar juga perlu sedar di mana kekuatan dan kelemahan diri. Kenalpasti apa yang boleh dikedepankan dan apa yang perlu diasah. 

Selain itu, bijak mengambil peluang yang ada dan sentiasa berada dalam lingkungan positif juga antara cara untuk seseorang itu berjaya. Setiap hari ucapkan perkara yang baik untuk datangkan semangat yang positif. Perlu percaya apa yang diucapkan itulah yang akan terjadi. Jadi jika setiap hari berkata mengenai kejayaan, insya-Allah kejayaan yang akan datang. 

“Untuk berjaya perlu ada sikap proaktif. Minat dan konsisten dua benda yang tidak boleh ditinggalkan. Lakukan sesuatu kerjaya itu dengan penuh minat dan disertakan dengan konsisten. Gabungan dua elemen ini, adalah ramuan penting untuk sesebuah kejayaan itu datang. Selepas berusaha, serahkan semuanya pada ketentuan Allah SWT.” Ujarnya. 

Norzeaty juga sempat berkongsi pengalaman iaitu ilmu menguruskan kewangan adalah ilmu yang cukup penting. Tambah lagi pada musim pandemik, segalanya boleh terjadi. Perlu bijak meletakkan perkara yang perlu dihadapan dan ketepikan dahulu kehendak kerana ia tidak merugikan apa-apa. Tegasnya skil perlu dibangunkan dan universiti adalah tempat terbaik untuk mahasiswa mengasah skil untuk bekalan alam pekerjaan. 

Jangan malu bertanya dan jangan malu untuk berpesatuan. Di situlah tempat terbaik untuk medan latihan sama ada melatihkan kemahiran berkomunikasi dan kepimpinan. Jadi sebelum melangkah keluar dari universiti, mahasiswa perlu timba sebanyak mana ilmu yang ada. 

“Ini kerana ilmulah yang membezakan kita dengan orang lain. Benar, sesiapa boleh berjaya tetapi orang yang berjaya dengan adanya ilmu itu lebih bererti dan memuaskan.” akhirinya. 



Tarikh Input: 08/06/2021 | Kemaskini: 13/08/2021 | alif.isnain

PERKONGSIAN MEDIA

Pusat Perhubungan Alumni
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+6039769 1017
0386566933
BXDdTA3~