SEED4OURFUTUREE GALAK KOMUNITI MENANAM POKOK | Pusat Perhubungan Alumni
» BERITA » SEED4OURFUTUREE GALAK KOMUNITI MENANAM POKOK

SEED4OURFUTUREE GALAK KOMUNITI MENANAM POKOK

Oleh : Aida Fitri Peli

SERDANG, 10 Mac – Usaha dalam menggalakkan komuniti untuk menanam pokok kali ini diteruskan oleh generasi muda melalui penganjuran sebuah program yang diberi nama Seed4OurFuture. Program ini merupakan aktiviti cabaran video menanam pokok dari biji benih atau anak pokok paling kreatif yang boleh disertai oleh warga Universiti Putra Malaysia dan orang awam.

Hari ini, program Seed4OurFuture telah dirasmikan oleh Prof. Madya Dr. Ahmad Shukri Muhammad Noor, Pengetua Kolej Tiga Belas pada jam 9:00 malam secara maya di Facebook Kolej Tigas Belas dan Facebook Forum Kedaulatan Makanan Malaysia.

 

Semasa majlis perasmian tersebut, pengarah program, saudara Muhammad Aqil Naim Othman berkata program ini bermatlamat untuk menyebarkan kesedaran kepada komuniti akan kepentingan menanam pokok. Manakala, Penyelaras Forum Kedaulatan Makanan Malaysia, Encik Nurfitri Amir Muhammad menambah bahawa pelaksanaan program ini merupakan sambutan awal kepada Hari Benih Antarabangsa yang disambut pada 26 April setiap tahun.

“Petani dan kita sebagai rakyat Malaysia bebas untuk menanam, menyimpan dan berkongsi biji benih yang diperoleh,” tambah beliau. Sementara itu, Ahmad Shukri berharap agar program ini bukanlah program terakhir untuk dianjurkan dan semoga program ini dapat menyebarkan minat terhadap aktiviti penanaman pokok serta perasaan cinta akan tumbuh-tumbuhan.

Program Seed4OurFuture ini berlangsung dari 10 Mac 2021 sehingga 25 April 2021 secara dalam talian. Peserta yang ingin menyertai boleh melawati Facebook Kolej Tiga Belas di pautan https://www.facebook.com/kolej13upm. Peserta hanya perlu menanam pokok, merekod cara penanaman dan pertumbuhan pokok melalui video dan gambar kemudian menghantar hasil video kreatif tersebut kepada pihak urusetia sebelum tarikh tamat.

Tarikh Input: 30/03/2021 | Kemaskini: 30/03/2021 | msahrizan

PERKONGSIAN MEDIA

Pusat Perhubungan Alumni
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+6039769 1017
0386566933
BXEbDAI~