SEBA SIRI KE 25, Tampilkan Orang Kuat Disebalik Persatuan Alumni UPM | Pusat Perhubungan Alumni
» BERITA » SEBA SIRI KE 25, Tampilkan Orang Kuat Disebalik Persatuan Alumni UPM

SEBA SIRI KE 25, Tampilkan Orang Kuat Disebalik Persatuan Alumni UPM

Oleh : Suziana Che Wil

Suntingan : Nik Hafzaini Nik Hassan         

Terjemahan BI : Siti Nur’ Ain feisal  

 

SERDANG – Sejam Bersama Alumni (SEBA) edisi ke-25 menampilkan Dato’ Raihan Sharif, Presiden Persatuan Alumni UPM yang juga merupakan Alumni UPM Kelas 1978 dan 1982 . SEBA kali ini berjaya menarik minat ramai alumni UPM untuk mengikuti secara dalam talian siri perkongsian ilmu dan pengalaman daripada Presiden Persatuan Alumni UPM (PAUPM). Antara tetamu kehormat lain ialah YAM Tengku Syarif Laksamana Perlis Dato' Seri DiRaja Syed Razlan Syed Putra Jamalullail, Pengerusi, Lembaga Pengarah UPM dan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni) UPM, Prof. Dr Arifin Abdu.

Turut serta berada dalam talian yang tidak pernah jemu memberikan sokongan kepada pelaksanaan program-program alumni adalah Prof. Madya Dr. Arba’ie Sujud, Pengarah Pusat Perhubungan Alumni UPM (ARCUPM), Fahmi Azar Mistar, Timbalan Pengarah ARCUPM dan juga Nik Hafzaini Nik Hassan, Penolong Pendaftar ARCUPM.

Berkata pada program itu, Prof. Madya Dr. Arba’ie Sujud merakamkan ribuan terima kasih kepada pihak Persatuan Alumni UPM terutamanya Presiden PAUPM sendiri iaitu Ybhg Dato’ Raihan Sharif kerana sudi memberikan perkongsian penuh berilmu kepada hadirin dalam talian pada hari tersebut.

“Pada saya SEBA siri ke-25 ini amatlah istimewa kerana program yang dicipta khusus untuk pelajar UPM ini turut menarik minat alumni senior daripada era-70 sehinggalah alumni muda untuk hadir bersama-sama mendengar perkongsian ilmu dan pengalaman daripada Dato’ Raihan Sharif. Semangat persepakatan yang wujud antara Pusat Perhubungan Alumni UPM dan Persatuan Alumni UPM menunjukkan dua entiti alumni ini saling melengkapi di antara satu sama lain. Apa yang boleh saya katakan kedua-dua organisasi ini hadir bukanlah untuk bersaing tetapi untuk bersama-sama berjalan seiring demi membawa alumni dan nama UPM sebagai institusi pengajian tinggi yang ulung di mata dunia.

Sekali lagi saya ucapan terima kasih kepada Dato’ Presiden dan para exco PAUPM dalam kebersamaan ini untuk kita memperkasakan fungsi dan peranan kedua-dua organisasi agar ia memberi manfaat kepada para alumni dan pelajar UPM,” ujar Prof. Madya Dr. Arba’ie Sujud.

 

Kampus Pusat Mengumpul Ilmu dan Pengalaman

Menurut Dato’ Raihan pada perkongsian maya itu, alam kampus adalah pusat untuk mengumpul ilmu, kawan dan pengalaman. Beliau yang pada mula hanyalah budak kampung dari Gemencheh, Negeri Sembilan, selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia tidak tahu mana mahu memulakan langkah.

Namun selepas melihat dan mendengar cerita daripada rakan sekampung yang telah pun berjaya melanjutkan pelajaran ke Universiti Pertanian Malaysia (ketika itu belum ditukarkan nama kepada Universiti Putra Malaysia) beliau turut berminat untuk ke UPM.

Pada 1975, akhirnya beliau meneruskan pengajian pada peringkat diploma dengan pengkhususan bidang Diploma Kesihatan Haiwan dan Penternakan. Pelbagai kenangan manis tercipta sepanjang tempoh untuk menamatkan pengajian pada peringkat ini.

“Apa yang paling tidak dapat saya lupakan apabila perlu menjalankan latihan industri di sebuah ladang ternakan khindzir. Dalam hati berbelah bahagi. Menolak bermakna gagal, jika diteruskan apa yang perlu saya lakukan. Akhir saya jadikan ia sebagai cabaran. Hari pertama agak kekok. Tapi lama kelamaan saya tahu bagaimana untuk menangganinya. Biarpun setiap hari perlu samak badan, akhirnya saya berjaya habiskan latihan di situ dengan jayanya,” kongsi Dato’ Raihan.

Manakala pada 1982, sekali lagi Dato’ Raihan bergelar mahasiswa Universiti Putra Malaysia, apabila beliau menyambung pengajian dalam bidang Ijazah Sains (Ekonomi Sumber) dan seterusnya menyambung pengajian peringat Sarjana, dalam Pentadbiran Perniagaan di University of Hartford, Connecticut, USA pada tahun 1992.

“Dalam ruang masa yang terhad ini, apa yang boleh saya katakan universiti adalah pusat untuk mengumpul segala ilmu dan pengalaman. Bukan hanya ilmu di kelas pengajian tetapi juga ilmu dalam mendidik jiwa untuk menjadi seorang yang berdedikasi, berwibawa dan berjiwa besar. Jangan gentar untuk memegang jawatan sama ada di kolej mahupun di fakulti, kerana di sini jika tersalah langkah, ada pensyarah dan rakan-rakan seperjuangan yang akan membantu, tetapi jika diluar, tersilap langkah akan membawa padah.

“Di universiti saya aktifkan diri dalam semua bidang terutama sukan, kepimpinan termasuklah kesenian. Di kolej juga saya belajar bermain gitar dan penulisan kreatif. Semua itu kenangan yang tidak akan dapat di mana-mana selain alam kampus. Mahasiswa hari ini tidak boleh hadkan kemampuan diri. Mereka perlu teroka pelbagai bidang dan kemahiran kerana cabarannya sudah berbeza dan selepas berjaya pulanglah berbakti kepada universiti semula. Persatuan Alumni UPM sedia menanti kepulangan anda untuk berbakti kepada alma mater. Perlu ingat jika tanpa universiti tempat kita menimba segala ilmu, maka kita tidak jadi seperti apa yang kita ada hari ini. Jadi jangan culas untuk pulang berbakti di mana tempat kita bermula. Kami di PAUPM sedia tunjukkan jalan dan sediakan landasannya,” akhiri Dato’ yang memegang jawatan presiden PAUPM sejak tahun 2019.

Tarikh Input: 08/07/2021 | Kemaskini: 30/09/2021 | alif.isnain

PERKONGSIAN MEDIA

Pusat Perhubungan Alumni
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+6039769 1017
0386566933
BXEUPAD~