SAMBUTAN JUBLI EMAS 50 TAHUN ALUMNI KELAS ’75 – SESI PETANG | Pusat Perhubungan Alumni alumni
» BERITA » SAMBUTAN JUBLI EMAS 50 TAHUN ALUMNI KELAS ’75 – SESI PETANG

SAMBUTAN JUBLI EMAS 50 TAHUN ALUMNI KELAS ’75 – SESI PETANG

Serdang, 20 Ogos 2025 - Sambutan Jubli Emas Alumni ‘75 berlangsung dengan penuh bermakna selama dua hari iaitu 19 hingga 20 Ogos 2025. Program ini diadakan di Bangunan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni), UPM. Program ini menghimpunkan semula sahabat seperjuangan yang pernah menimba ilmu bersama di kampus hijau sekaligus membuka ruang untuk mengimbau kenangan serta memperkukuhkan hubungan antara Alumni ‘75

Majlis penuh makna ini turut dihadiri oleh beberapa tokoh penting universiti dan alumni, antaranya Prof. Dr. Arifin Abdu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni); Dato’ Haji Raihan Sharif, Presiden Persatuan Alumni UPM; En. Fahmi Azar Mistar, Pengarah Pusat Perhubungan Alumni UPM; En. Mahbob Yusof, Ketua Pustakawan Perpustakaan Sultan Abdul Samad; serta Dr. Ibrahim Mohamed, Pengerusi Chapter Alumni Kelas 1975.

Acara kemuncak pada 20 Ogos 2025 menyaksikan penyampaian Anugerah Jubli Emas Alumni Kelas 1975 melalui Majlis MEKAR Siri 28. Penganugerahan itu disampaikan oleh Prof. Dr. Arifin Abdu sebagai penghormatan kepada tokoh alumni yang telah menabur bakti besar kepada universiti dan masyarakat. Penerima anugerah terdiri daripada:

  • Ibrahim MohamedTokoh Pemimpin Alumni Kelas 1975

  • Hajah Normah IbrahimTokoh Khidmat Bakti Alumni Kelas 1975

  • Tuan Haji Kamalur Rahman IbrahimTokoh Kebajikan Alumni Kelas 1975

Selain itu, seluruh Alumni Kelas ’75 diraikan sebagai tetamu terpenting yang menjadi nadi penggerak program ini. Majlis turut mengiktiraf penerima Anugerah Penghargaan Pencapaian Warga Kelas ’75 serta Hadiah Canda Mesra Jubli Emas 2025, sebagai penghargaan atas dedikasi, sumbangan dan semangat yang dikongsi oleh keluarga besar Alumni Tahun ’75.

Sambutan Jubli Emas Alumni Kelas 1975 mencatat sejarah tersendiri apabila Alumni Kelas ’75 menyerahkan sumbangan berjumlah RM101,975.00 kepada Tabung Endowmen Sultan Idris Shah (TESIS). Penyerahan replika cek dilakukan oleh Dr. Ibrahim Mohamed, Pengerusi Chapter Alumni UPM Kelas 1975, kepada Prof. Dr. Arifin Abdu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni), UPM, telah menjadi bukti nyata kesepaduan dan komitmen Alumni Kelas ’75 dalam menyokong agenda pendidikan serta kebajikan warga UPM. Lebih membanggakan, Tuan Haji Zulkarnain Mardikan diiktiraf sebagai penyumbang terbesar bagi tabung berkenaan. Penghargaan khas disampaikan kepada keluarganya dan diterima oleh anakanda beliau, Encik Ahmad Faiz Zulkarnain, yang hadir mewakili pihak keluarga.

Inisiatif berharga ini mencerminkan semangat “Alumni UPM Berilmu, Berbakti”, sekali gus memastikan legasi bakti terus mengakar dan memberi manfaat berpanjangan kepada generasi Putra pada masa hadapan.

 

Tarikh Input: 04/09/2025 | Kemaskini: 09/09/2025 | ahmadamirul

PERKONGSIAN MEDIA

Pusat Perhubungan Alumni
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+6039769 1017
0386566933
X, (04:52:59pm-04:57:59pm, 08 Sep 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]