Oleh: Nur Fazrini Alia Binti Abd Majid
Disunting Oleh: Suziana Che Wil
Serdang, 10 Disember 2025 – Universiti Putra Malaysia (UPM) telah melancarkan Sambutan Bulan Digital UPM 2025 sebagai satu inisiatif strategik untuk memperkukuh agenda transformasi digital dan kecerdasan buatan (AI) dalam pendidikan tinggi negara, selaras dengan aspirasi UPM sebagai peneraju inovasi digital di Malaysia.

Majlis pelancaran sambutan ini menampilkan beberapa ucaptama daripada tokoh penting, antaranya Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan dan Pembangunan), Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), YBhg. Datuk Ts. Dr. Mohd Nor Azman Hassan, yang menyampaikan ucaptama bertajuk “Empowering Futures: Digital Transformation”. Dalam ucapannya, beliau menekankan kepentingan kesiapsiagaan digital dan keupayaan adaptasi institusi pendidikan tinggi dalam menghadapi gelombang teknologi masa hadapan yang semakin pesat.
Naib Canselor Universiti Putra Malaysia, YBhg. Dato’ Profesor Ir. Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah, turut menyampaikan ucaptama bertajuk “Digital Renaissance: Charting AI-Ready Higher Education”. Beliau menegaskan bahawa Bulan Digital UPM menjadi platform penting dalam mendidik warga kampus tentang penggunaan kecerdasan buatan dan teknologi maklumat secara beretika serta bertanggungjawab, di samping mengupas cabaran dan peluang transformasi digital dalam landskap pendidikan tinggi.
Menurut beliau, pelancaran Bulan Digital UPM 2025 merupakan usaha berterusan universiti dalam memperkasa literasi digital, keselamatan siber dan penggunaan teknologi berasaskan data dalam kalangan warga kampus, sejajar dengan matlamat menjadikan UPM sebuah universiti yang bersedia menghadapi era AI.
Sementara itu, Ketua Pegawai Digital (CDO), iDEC UPM, Profesor Ts. Dr. Nurfadhlina Mohd Sharef berkata pelbagai penambahbaikan telah dilaksanakan selari dengan Kerangka Transformasi Digital UPM, termasuk pengukuhan aspek keselamatan siber, penyediaan data berkualiti serta pembangunan sistem makluman universiti bagi menyokong ekosistem digital yang lebih mantap dan bersepadu.
Majlis pelancaran ini turut dihadiri oleh Pengarah Pusat Perhubungan Alumni UPM, Encik Fahmi Azar Mistar, serta Timbalan Presiden Persatuan Alumni UPM merangkap Alumni UPM Kelas 1992, YBrs. Encik Shahrudin Mahadi.



Dalam majlis yang sama, turut diadakan Penyampaian Sumbangan Laptop Alumni Madani kepada penerima terpilih sebagai simbol keprihatinan dan sokongan alumni terhadap kebajikan pelajar. Penerima sumbangan ialah Saudara Ikhwan, yang diwakili oleh Encik Wan Mohd Radzi (WAZAN UPM), serta Saudari Sin Yee, yang diwakili oleh Puan Marlinah Muslim dari Unit Perkhidmatan dan Sokongan OKU UPM.


Secara keseluruhannya, Sambutan Bulan Digital UPM 2025 mencerminkan komitmen berterusan universiti dalam membudayakan pendigitalan secara mampan serta mempersiapkan warga universiti menghadapi era kecerdasan buatan. UPM kekal konsisten menjadikan pendigitalan sebagai pemacu inovasi, kecemerlangan akademik dan pembangunan bakat masa depan negara.
Tarikh Input: 19/12/2025 | Kemaskini: 19/12/2025 | ainnanabilah

Aras Bawah
Bangunan Pejabat Timbalan Naib Canselor
(Penyelidikan dan Inovasi)
Universiti Putra Malaysia
Off Lebuh Silikon
43400 UPM Serdang, Selangor