READ@UNI: LAWATAN SANTAI SAMBIL MENIMBA ILMU PERTANIAN BERSAMA ALUMNI UPM | Pusat Perhubungan Alumni alumni
» BERITA » READ@UNI: LAWATAN SANTAI SAMBIL MENIMBA ILMU PERTANIAN BERSAMA ALUMNI UPM

READ@UNI: LAWATAN SANTAI SAMBIL MENIMBA ILMU PERTANIAN BERSAMA ALUMNI UPM

Oleh:  Nur Fazrini Alia Abd Majid 

Disunting oleh:  Suziana Che Wil 

Cameron Highlands, 23 Disember – Pusat Perhubungan Alumni Universiti Putra Malaysia (ARCUPM), dengan kerjasama Taman Agro Al-Mashoor yang dimiliki oleh alumni UPM, Dato’ Syed Abd Rahman Syed Abd Rashid (Alumni Kelas 1970), telah menganjurkan satu sesi lawatan santai sambil menimba ilmu pertanian kepada kakitangan ARCUPM beserta ahli keluarga yang hadir di ladang strawberi milik beliau.

Dalam lawatan ini, para peserta berpeluang mengikuti perkongsian ringkas mengenai amalan pertanian moden, khususnya teknik fertigasi strawberi. Inisiatif ini merupakan usaha murni alumni UPM yang terlibat secara langsung dalam industri pertanian, sekali gus menyokong aspirasi UPM dalam menangani isu keterjaminan makanan negara.

Sesi perkongsian yang ringkas namun bermakna ini turut dihadiri oleh Encik Fahmi Azar Mistar, Pengarah Pusat Perhubungan Alumni UPM, Dr. Muhammad Mu’az Mahmud, Timbalan Pengarah Pusat Perhubungan Alumni UPM serta kakitangan dan ahli keluarga yang hadir. Para peserta menyatakan keterujaan dapat melawat ladang strawberi secara langsung dan merasai pengalaman sebenar dalam pertanian moden.

Selain daripada penanaman strawberi, Dato’ Syed Abd Rahman turut berkongsi pengalaman beliau dalam mengusahakan tanaman strawberi dan tomato di Cameron Highlands. Peserta berpeluang naik sedikit ke kawasan tanaman beliau untuk melihat teknik penanaman tomato dan jenis-jenis tomato yang diusahakan. Paling menarik, kanak-kanak yang hadir turut diberi peluang memetik buah strawberi sendiri, menjadikan lawatan ini lebih menyeronokkan dan berunsur pendidikan.

Pusat Perhubungan Alumni UPM merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Dato’ Syed Abd Rahman atas kesudian beliau meluangkan masa serta berkongsi ilmu dan pengalaman bersama warga ARCUPM. Lawatan ini telah berjaya menzahirkan hasrat untuk melihat secara lebih dekat kejayaan alumni UPM dalam bidang keusahawanan pertanian. ARCUPM bersama Persatuan Alumni UPM berharap agar seluruh alumni UPM terus melakar kejayaan dan kecemerlangan dalam bidang kepakaran masing-masing.

Tarikh Input: 26/12/2025 | Kemaskini: 30/12/2025 | ainnanabilah

PERKONGSIAN MEDIA

Pusat Perhubungan Alumni
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+6039769 1017
0386566933
X, (06:03:47am-06:08:47am, 12 Sep 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]