Sejam Bersama Alumni - Sabrie Salleh Kongsi Pengalaman Dan Jatuh Bangun Dalam Bidang Keusahawanan | Pusat Perhubungan Alumni
» BERITA » Sejam Bersama Alumni - Sabrie Salleh Kongsi Pengalaman dan Jatuh Bangun dalam bidang keusahawanan

Sejam Bersama Alumni - Sabrie Salleh Kongsi Pengalaman dan Jatuh Bangun dalam bidang keusahawanan

Oleh: Nur Sara Hazeqqa Johari

Suntingan: Suziana Che Wil  

 

SERDANG, 15 Jan - Video Siar (Podcast) Sejam Bersama Alumni UPM (SEBA) yang pertama dari Pusat Perhubungan Alumni (ARCUPM) menampilkan panel jemputan, Encik Mohamad Sabrie Mohamad Salleh yang merupakan Ahli Lembaga Pengarah Universiti Putra Malaysia dan juga Alumni UPM kelas 2009. 

Rakaman video siar yang berlangsung selama satu jam ini telah diacarakan oleh, Puan Aida Fitri Peli (Pegawai Tadbir ARCUPM) bertempat di Galeri Putra, Pusat Strategik dan Perhubungan Korporat UPM. 

SEBA kali ini menampilkan konsep yang lebih santai dalam usaha menarik minat pelajar untuk menonton dan seterusnya mendapat satu perkongsian yang bermanfaat daripada alumni yang telah berjaya dalam industri.  

Encik Sabrie Salleh yang merupakan pengasas kepada Burger Bakar Abang Burn telah berkongsi pengalaman beliau mengenai kehidupan dari zaman bergelar seorang mahasiswa, pahit manis dunia kerjaya dan jatuh bangun kehidupan seorang usahawan. Menurutnya, untuk berjaya tiada jalan mudah malah ianya menuntut pengorbanan yang besar bukan sahaja dari segi masa malah kesabaran. 

Meskipun pernah jatuh dalam perniagaan, beliau tetap bangun kerana ilmu yang diterima sepanjang bergelar mahasiswa UPM tidak ada satu pun yang menyokong kepada rasa untuk berputus asa. 

“Saya pernah rasa jatuh yang sangat menyakitkan. Saya pernah rasa untuk beli susu anak pun tidak mampu, tetapi dengan rasa sakit itu, saya bangkit dan mencari jalan untuk keluar daripada kesakitan.” - ujar beliau.

Menerusi rakaman video siar yang bersiaran di saluran Youtube Putra TV dan laman Facebook rasmi UPM itu, diharapkan dapat menjadi satu suntikan semangat kepada pada pelajar UPM agar sentiasa bersedia dan jangan gentar dengan cabaran dan terus berjuang untuk masa hadapan yang cemerlang.

Tarikh Input: 22/01/2024 | Kemaskini: 29/03/2024 | hazeqqa

PERKONGSIAN MEDIA

Pusat Perhubungan Alumni
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+6039769 1017
0386566933
BXEcWA5~